BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Putrajaya, Sarawak Sepakat Selesai Isu Petronas–Petros Secara Rundingan - PMO

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Putrajaya dan Sarawak telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) secara rundingan.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kesepakatan tersebut dicapai menerusi pertemuan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut disertai oleh kepimpinan tertinggi Petronas dan Petros di Perdana Putra, Putrajaya. 

"Perdana Menteri serta Premier Sarawak telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara Petronas dan Petros," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PMO berkata pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan.

Langkah mencapai kesepakatan itu penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama Petronas dan Petros dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.

"Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN," katanya.

Menurut kenyataan tersebut, Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga telah mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan. 

-- BERNAMA