BERITA TERKINI   Pegawai penguatkuasa JPJ pakai alat perakam badan (BWC) bermula November ini, perkukuh penguatkuasaan dan integriti - Loke | JPJ laksana operasi ‘Perang Lebih Muatan Melibatkan Kenderaan Perdagangan” 14 Okt - 31 Dis ini - Loke | Pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM1,000 dalam Belanjawan 2026 galak pelancongan domestik sempena TMM2026 - PM Anwar  | Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 dipergiat secara digital bagi tarik lebih ramai pelancong - PM Anwar | PM Anwar setuju PDRM ambil tindakan sewajarnya kepada pihak kibar bendera Israel, tampal pelekat tulisan Hebrew | 

Kadar Semasa OPR Sejajar Dengan Pertumbuhan Ekonomi - MIDF Amanah

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 3.0 peratus bagi tempoh berbaki tahun ini kerana tahap ini sejajar dengan penilaian semasa pertumbuhan ekonomi dan inflasi.

Bank pelaburan itu berkata walaupun keseluruhan ekonomi dijangka terus berkembang, inflasi boleh meningkat disebabkan oleh tekanan dari segi penawaran, seperti pelarasan dasar dan peningkatan kos.

“Namun begitu, dengan tekanan permintaan yang masih terkawal, kami tidak menjangka inflasi yang lebih tinggi ini akan mendorong perubahan dalam kadar OPR. Kami percaya inflasi keseluruhan akan terus terkawal.

“Bank Negara Malaysia (BNM) sebaliknya mempunyai fleksibiliti dasar yang diperlukan untuk bertindak balas terhadap ketidaktentuan ekonomi pada masa depan, terutamanya untuk menangani risiko penurunan akibat daripada pertumbuhan perlahan ekonomi domestik dan perubahan dalam tinjauan inflasi,” kata MIDF Amanah menerusi nota Kajian Ekonominya hari ini.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya hari ini, BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3 peratus, tidak berubah bagi 12 mesyuarat berturut-turut sejak Mei 2023.

MIDF Amanah berkata penurunan momentum pertumbuhan boleh mendorong BNM beralih kepada pelonggaran dasar untuk menyokong ekonomi.

Bagaimanapun, ia tidak melihat sebarang keperluan mendesak bagi BNM untuk melonggarkan dasar monetari kerana pertumbuhan terus disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang semakin rancak.

Sementara itu, CIMB Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata ia menjangka BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus pada Julai.

Pada masa itu, katanya, aktiviti ekonomi suku kedua 2025 dan juga rundingan tarif AS-Malaysia akan menjadi lebih jelas yang seterusnya memberikan peluang kepada penggubal dasar untuk menilai semula prospek pertumbuhan dan inflasi.

-- BERNAMA