BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Berikutan Harga Minyak Lebih Lemah, Ringgit Mengukuh

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini, didorong oleh penurunan harga minyak mentah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dagangan turut lengang berikutan cuti umum di beberapa pasaran getah serantau, kata peniaga.

Pada 4.35 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2140/2200 berbanding dolar AS yang berada pada 4.2560/2600 ketika ditutup pada Jumaat, menjadikan getah Malaysia kurang kompetitif dalam pasaran antarabangsa.

Peniaga berkata kebimbangan mengenai kesan tarif perdagangan AS terhadap prestasi ekonomi global terus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai penyusutan bekalan bahan mentah di negara pengeluar utama getah asli susulan cuaca hujan, selain keyakinan terhadap rundingan perdagangan AS berikutan tanda-tanda ketegangan perdagangan semakin berkurang,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 merosot 9.0 sen kepada 729 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 4.50 sen kepada 604.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA