BERITA TERKINI   Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | 

Pasaran Getah Mungkin Pulih Minggu Depan Susulan Pelan Rangsangan China

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka pulih sedikit minggu depan disokong oleh unjuran positif di tengah-tengah potensi langkah rangsangan China, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) mengunjurkan pandangan positif ini, menganggarkan penggunaan getah asli (NR) akan meningkat sebanyak 1.5 peratus pada 2025 kepada kira-kira 15.6 juta tan.

"Pembekalan NR yang terhad secara berterusan di negara pengeluar getah utama juga akan memberi kesan ke atas harga," kata jurucakap MARGMA kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada perkembangan yang memberangsangkan daripada rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China dan ini akan terus menjejaskan pasaran dan ekonomi global.

"Harga akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, serta kekuatan ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah," katanya.

Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata pentadbiran Trump telah menyebabkan banyak ketidaktentuan dalam pasaran getah.

"Kita memasuki persekitaran ekonomi global yang semakin dinamik dan sangat kompleks. Adalah penting bagi perniagaan di seluruh dunia untuk terus menyesuaikan dengan situasi ini sebaik mungkin bagi menguruskan cabaran berterusan yang timbul disebabkan oleh dasar (Presiden AS Donald) Trump," katanya.

Pada asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 14.5 sen kepada 738.0 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 16.5 sen kepada 609.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA