BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susutĀ kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | 

Sistem MSNR Trace Diwajibkan Kepada Kilang Pemproses, Pedagang Getah Berkuat Kuasa 5 Mei - LGM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pemegang lesen bagi kategori kilang pemproses dan pedagang getah diwajibkan untuk menggunakan sistem MSNR Trace dalam melaporkan urus niaga getah asli, berkuat kuasa 5 Mei ini, kata Lembaga Getah Malaysia (LGM).

LGM dalam kenyataan media berkata tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan sekiranya pemegang lesen gagal menggunakan sistem MSNR Trace iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sistem MSNR Trace merupakan platform digital untuk kebolehjejakan rantaian bekalan getah asli serta memastikan ketelusan dan kemampanan dalam pengeluaran getah. 

"Sistem ini merangkumi integrasi beberapa platform digital LGM iaitu PAT-G, RRIM Geo Rubber, RRIMniaga, RRIMestet dan MyLesen. 

"Ia memainkan peranan penting dalam menangani isu alam sekitar dan sosial dalam industri dengan membenarkan pihak berkepentingan menjejaki transaksi getah mentah dari ladang ke produk akhir," katanya.

Pada masa sama, LGM juga giat menjalankan operasi besar-besaran bagi memastikan peniaga getah berlesen LGM yang membeli getah daripada pekebun kecil menggunakan aplikasi RRIMniaga yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 2021.

"Tindakan pembatalan lesen akan dilaksanakan bagi mana-mana pemegang lesen LGM yang masih ingkar mematuhi syarat lesen yang telah berkuatkuasa," katanya. 

-- BERNAMA