BERITA TERKINI   Untung bersih Axiata meningkat kepada RM273.80 juta pada suku pertama 2026 daripada RM159.84 juta bagi tempoh sama 2025 | MISC Bhd raih untung bersih lebih tinggi sebanyak RM741.4 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM705.7 juta pada suku sama 2025 | Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) disaran teroka potensi eksport produk sawit ke pasaran baharu -- Akmal Nasrullah | KPK teliti langkah mitigasi jangka sederhana dan panjang, termasuk pengukuhan kawalan harga dan anti pencatutan dalam input pertanian -- Akmal Nasrullah | Rantaian logistik ditambah baik melalui kerjasama KPK dan KPDN, bantu peraih individu terima insentif SKDS Diesel -- Akmal Nasrullah | 

Johari Seru Penggiat Industri Minyak Sawit Sokong Inisiatif Bio Bahan Api

KUANTAN, 29 April (Bernama) -- Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru penggiat industri minyak sawit untuk menyokong inisiatif pelet hitam TG2, inovasi bio bahan api boleh baharu yang berpotensi menggantikan arang batu dalam penjanaan tenaga.

Beliau berkata teknologi ini yang dibangunkan oleh syarikat tenaga boleh baharu yang beribu pejabat di Netherlands, Wilhelmina Malaysia Energy, menukar tandan buah kosong (EFB) yang dikumpulkan dari ladang sawit kepada sumber tenaga bersih.

“Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan ekonomi kitaran daripada sisa minyak sawit dan pada masa sama menambah nilai kepada industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat ini telah memperlihatkan potensi teknologi ini, dengan Jepun menunjukkan minat yang tinggi dan sedang dalam proses pembelian.

Johari turut menggalakkan penggiat industri untuk mempertimbangkan penyediaan antara 10 hingga 20 peratus daripada output EFB kepada rantaian bekalan bagi membantu meningkatkan skala pengeluaran dan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport global pelet hitam TG2.

“Saya mempelawa kilang minyak sawit untuk datang dan melihat sendiri teknologi ini, menyaksikan bagaimana ia berfungsi dan memberi manfaat kepada alam sekitar,” katanya.

Johari dalam hantaran di laman Facebook berkata loji biojisim berkeluasan 9.3 hektar di Gebeng di sini berupaya menghasilkan 80,000 tan pelet hitam TG2 setiap tahun, menggunakan teknologi moden seperti letupan wap, pemampatan menjadi pelet, rawatan air kitar semula dan sistem biogas.

“Pelet TG2 bersifat tahan kelembapan, mudah diangkut, boleh digunakan terus dalam sistem pembakaran bersama tanpa perlu pengubahsuaian dan mempunyai jejak karbon yang sangat rendah.

“Produk ini bukan sahaja memenuhi piawaian Eropah, malah layak menerima subsidi hijau daripada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian (METI) Jepun,” katanya. 

-- BERNAMA