BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Pelabur Asing Kembali Giat Di Bursa Malaysia Dengan Aliran Masuk RM332.3 Juta

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih di Bursa Malaysia sebanyak RM332.3 juta, mengakhiri jualan selama 26 minggu berturut-turut sekali gus menjadikannya sebagai minggu pertama aliran masuk asing bersih sejak 24 Okt 2024.

Menurut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd pada minggu berakhir 25 April 2025, pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Selasa, yang menyaksikan aliran keluar, masing-masing sebanyak RM101.1 juta dan RM105.4 juta.

Bagi hari-hari lain, aliran masuk merekodkan antara RM125.9 juta hingga RM267.2 juta.

Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM197.1 juta), telekomunikasi dan media (RM60.8 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM48.8 juta).

Sektor yang merekodkan aliran keluar asing bersih terbesar adalah tenaga (RM16.0 juta), perladangan (RM16.0 juta) dan penjagaan kesihatan (RM13.3 juta).

MIDF Amanah berkata institusi tempatan pula menjadi penjual bersih buat kali pertama sejak 24 Oktober, dengan aliran keluar sebanyak RM267.4 juta selepas 26 minggu berturut-turut sebagai pembeli bersih.

Pelabur runcit tempatan pula meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu kedua, dengan aliran keluar sebanyak RM64.9 juta -- 2.5 kali ganda lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) memaparkan pertumbuhan meluas melainkan pelabur asing yang mencatatkan penurunan sebanyak 6.9 peratus.

Institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing mencatatkan peningkatan 23.8 peratus dan 2.2 peratus.

MIDF turut melaporkan inflasi keseluruhan Malaysia menurun kepada 1.4 peratus tahun ke tahun pada Mac 2025, memberi sedikit kelegaan kepada pembuat dasar.

Penurunan ini adalah menyeluruh, dengan pertumbuhan harga yang sederhana dalam sektor penginapan, perkhidmatan makanan, utiliti dan barangan isi rumah.

"Inflasi yang stabil, disertai dengan situasi pasaran buruh yang kukuh -- pengangguran kekal pada kadar 3.1 peratus -- menunjukkan ekonomi domestik kekal berdaya tahan walaupun tekanan luaran semakin meningkat," kata MIDF Amanah.

Dalam pasaran Asia yang lebih luas, hanya Malaysia, India, Taiwan dan Vietnam merekodkan aliran masuk asing bersih manakala negara lain mencatat aliran keluar bersih, dengan Thailand mengalami tekanan jualan yang paling ketara.

-- BERNAMA