BERITA TERKINI   Ringgit susut kepada 3.9620/9670 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 pada Selasa | MIC kekal bersama Barisan Nasional, tidak sertai Perikatan susulan perubahan kepimpinan - Saravanan | JPA diarah rangka program tingkat profesionalisme PDRM, kebajikan jadi keutamaan termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi - PM Anwar | Kerajaan beri jaminan tidak campur tangan dalam tugas PDRM, akan beri dorongan untuk bertindak terus dengan berani - PM Anwar | Perolehan KDN yang dibekukan sebelum ini kini dilepaskan semula - PM Anwar | 

Raya Airways Tambah Penerbangan Kargo Ke Zhengzhou, Perkukuh Hubungan Dagangan Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan kargo, Raya Airways Sdn Bhd (Raya Airways) menambah penerbangan kargo Kuala Lumpur-Zhengzhou (KUL-CGO) kepada enam kali seminggu untuk mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.

Dilancarkan pada September 2024, bermula dengan tiga penerbangan seminggu, laluan KUL-CGO telah menjadi koridor penting bagi e-dagang rentas sempadan, kata Raya Airways dalam satu kenyataan.

Susulan permintaan yang meningkat, penambahan penerbangan Raya Airways itu menjanjikan akses lebih luas kepada pasaran antara dua negara yang semakin berkembang.

"Peningkatan kekerapan penerbangan KUL-CGO Raya Airways itu bukan hanya langkah pengoperasian, ia menyokong lonjakan perdagangan antara China dan Malaysia, China merupakan salah satu rakan dagangan utama kami," kata Pengarah Urusan Kumpulan Raya Airways Mohamad Najib Ishak.

Pejabat Raya Airways hari ini menerima tetamu yang mewakili China Henan Aviation Group dan China Logistics Group Global Express Supply Chain Management Co Ltd, pertemuan itu menekankan kepentingan strategik laluan kargo Zhengzhou dalam menyokong rangka kerja ‘Laluan Sutera Udara’ di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative).

Raya Airways juga mengukuhkan perkongsiannya dengan Balance Freight Sdn Bhd, kerjasama yang terus memacu inovasi dan kecekapan dalam logistik serantau.

Menurut kenyataan itu, Raya Airways kini sedang meningkatkan jejaknya dalam sektor kargo udara Asia.

Syarikat penerbangan itu berkata ia kekal komited untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang dalam penyelesaian logistik yang mengutamakan pelanggan untuk memastikan perniagaan berjalan lancar secara berterusan.

-- BERNAMA