BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

JS-SEZ Tarik Hampir 90 Peratus Daripada Pelaburan RM27.4 Bilion Johor Pada Suku Pertama

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) --Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi magnet bagi pelaburan apabila prestasi suku pertama tahun ini menunjukkan hampir 90 peratus daripada RM27.4 bilion pelaburan baharu di Johor terletak di kawasan zon ekonomi tersebut.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, justeru, JS-SEZ perlu memberi tumpuan untuk menarik jenis pelaburan yang betul yang boleh mempelbagaikan rantaian bekalan dan seterusnya membantu membina daya tahan dan keselamatan rantaian bekalan negara.

“Johor, Malaysia dan Singapura mempunyai kekuatan saling melengkapi, dan inilah tujuan utama JS-SEZ.

“Jika anda melihat dari segi geografi, apa yang menarik adalah tidak ada kawasan lain boleh menyediakan kualiti dan sumber seunik ini yang digabungkan dengan logistik dan akses ke pusat kewangan global juga,” katanya pada sidang akhbar di Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata dengan isu tarif yang menjejaskan ekonomi global ketika ini JS-SEZ adalah projek bersama oleh Malaysia dan Singapura untuk meningkatkan dan mengukuhkan rantaian bekalan ASEAN.

“Di tengah-tengah semua perbincangan ini, kita harus menumpukan semula pada isu atau bidang yang kita boleh bekerjasama untuk mengurangkan impak tersebut, dan kita ingin mempelawa pelabur dari seluruh negara ASEAN dan Arakan SEAN untuk turut menyertai kami di JS-SEZ,” katanya. 

Perjanjian JS-SEZ ditandatangani secara rasmi oleh pemimpin Malaysia dan Singapura pada 6 Januari tahun ini.

Zon ekonomi itu ditubuhkan antara lainnya bertujuan untuk bersama-sama menarik pelaburan global baharu ke kawasan JS-SEZ.

Di bawah Perjanjian JS-SEZ, Malaysia dan Singapura komited untuk menggalakkan pelaburan dalam 11 sektor utama bertujuan untuk menarik pelabur negara ketiga dan menyokong firma Singapura berkembang ke zon itu.

Inisiatif ini disasarkan untuk mengukuhkan kerumitan ekonomi,  merancakkan aktiviti digital, menggalakkan penggunaan teknologi dan mencapai aspirasi bersih-sifar dalam JS-SEZ.

Sembilan zon perdana telah ditetapkan secara strategik di bawah JS-SEZ, iaitu Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Sedenak, Forest City, Desaru dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Forum dua hari itu, bertemakan "JS-SEZ: Merapatkan Ekonomi, Memperkukuh Rantaian Bekalan", dianjurkan oleh MITI, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura dan kerajaan negeri Johor.

-- BERNAMA