BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | 

Niaga Hadapan Emas Didagangkan Dengan Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives berkemungkinan didagangkan dengan berhati-hati minggu depan, kerana pedagang akan memantau sebarang potensi penyelesaian perang perdagangan, kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata komoditi itu dijangka didagangkan dalam julat US$3,300 setiap auns troy hingga US$3,350 setiap auns troy pada minggu depan.

“Perjanjian antara Amerika Syarikat (AS)-Tokyo atau sebarang isyarat yang menunjukkan Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping bersedia mengadakan semula dialog, mungkin sudah cukup untuk mendorong harga meningkat semula.

“Sentimen runcit menunjukkan kecenderungan optimistik. Oleh itu, saya meramalkan logam berharga ini akan didagangkan dengan berhati-hati pada US$3,300 setiap auns troy hingga US$3,350 setiap auns troy pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, semerta bulan April meningkat kepada US$3,305.20 setiap auns troy daripada US$3,224.00 setiap auns troy minggu lepas, manakala Mei 2025 melonjak kepada US$3,315.60 setiap auns troy daripada US$3,234.40 setiap auns troy.

Kontrak Jun, Julai dan Ogos 2025 masing-masing menokok kepada US$3,330.30 setiap auns troy daripada US$3,246.80 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan merosot kepada 1,984 lot daripada 2,738 lot sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 175 kontrak daripada 1,232 kontrak.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 17 April, harga emas fizikal berada pada US$3,305.65 setiap auns troy.

-- BERNAMA