BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

MIDA Bantu Perkongsian Tenaga Bernilai RM142 Juta Di Ekspo Osaka Jepun

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd, HSS Engineering Sdn Bhd dan Shizen Malaysia Sdn Bhd telah membentuk perkongsian tenaga boleh baharu (RE) bagi melaksanakan kemudahan fotovoltan solar berkapasiti 29.99mWAC yang terletak di Gurun, Kedah dengan pelaburan sebanyak RM142 juta. 

Ketiga-tiga pihak tersebut telah membentuk SM01 Sdn Bhd, di bawah inisiatif Program Tenaga Hijau Korporat, yang mana Shizen Malaysia akan memiliki kepentingan sebanyak 49 peratus, Solarvest Asset Management Sdn Bhd, anak syarikat Solarvest Holdings (33 peratus) dan HSS Engineering Sdn Bhd (18 peratus).

Perkongsian ini, yang diumumkan semalam di Ekspo 2025 Osaka, Jepun, difasilitasi oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Inisiatif Pelaburan Hijau Kerajaan, yang mencerminkan komitmen Malaysia untuk memupuk kerjasama antarabangsa dalam pembangunan tenaga yang mampan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA untuk Promosi dan Fasilitasi Pelaburan, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata perkongsian itu menonjolkan komitmen Malaysia untuk pembangunan mampan selain kedudukannya sebagai destinasi utama bagi pelaburan mesra alam di rantau ini. 

"Projek SM01 adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menunjukkan bagaimana kerjasama antarabangsa dapat mempercepatkan perjalanan kami ke arah masa depan karbon rendah," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menekankan bahawa MIDA tetap berdedikasi untuk memudahkan inisiatif hijau berimpak tinggi yang bukan sahaja akan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar tetapi mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor tenaga boleh baharu  Malaysia.

Sementara itu, Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka dengan tema, "Menenun Masa Depan dalam Harmoni" berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan visi negara yang inklusif, inovatif dan lestari, sambil mempromosikan kedudukannya sebagai hab serantau serta destinasi utama untuk perdagangan dan pelaburan, terutama dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi hijau yang mampan.

Inisiatif ini memperkukuhkan imej negara sebagai destinasi pelaburan yang sedia masa depan dan kompetitif di peringkat global.

-- BERNAMA