BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

IPO WTEC Yang Bakal Disenarai Pasaran ACE Terlebih Langganan Sebanyak 1.61 Kali

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Tawaran Awam Permulaan (IPO) WTEC Group Bhd terlebih langganan sebanyak 1.61 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 29 April 2025.

IPO ini melibatkan terbitan 90.2 juta saham baharu pada harga 25 sen setiap satu untuk mengumpul RM22.5 juta mewakili 18.8 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan sebanyak 480 juta saham.

WTEC dalam kenyataan hari ini berkata, ia menerima 2,055 permohonan untuk 62.69 juta saham daripada orang awam di Malaysia berbanding dengan 24 juta saham yang disediakan untuk langganan awam.

“Sebanyak 9.6 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan individu yang layak dan menyumbang kepada kejayaan kumpulan, dilanggan sepenuhnya.

“Sementara itu, tawaran saham persendirian sebanyak 56.6 juta saham dan 3.4 juta saham kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), bersama-sama dengan 39.8 juta saham kepada pelabur terpilih, dilanggan sepenuhnya,” kata WTEC.

Syarikat ini dijangka mempunyai modal pasaran sebanyak RM120 juta selepas penyenaraian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Kok Kheng berkata sebahagian besar hasil IPO akan diperuntukkan untuk memperoleh kemudahan pengilangan baharu termasuk mesin dan peralatan.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keupayaan pengilangan sedia ada kami selain mempertingkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan sekali gus membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan merangkumi pelbagai sektor dan pasaran,” katanya.

Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 24 April 2025.

Alliance Islamic Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO ini.

-- BERNAMA