BERITA TERKINI   APG 2025: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin raih emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu | Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

EXIM Bank Perkukuh Perdagangan Global Malaysia Menerusi Pembiayaan RM87.80 Juta Untuk Pertama Ferroalloys

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) telah mengukuhkan perdagangan global Malaysia dengan menandatangani perjanjian kemudahan pembiayaan pembekal berjumlah US$20 juta (RM87.80 juta) dengan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd untuk menyokong pengembangan kapasiti pengeluaran syarikat di Bintulu, Sarawak.

EXIM Bank dalam satu kenyataan berkata perkongsian strategik itu menekankan komitmen berterusannya untuk meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia di peringkat global.

Kemudahan pembiayaan itu dijangka membantu Pertama Ferroalloys meningkatkan operasinya di peringkat antarabangsa sambil memperkukuh integrasi rantaian bekalan tempatan dan memacu penciptaan nilai ekonomi.

Beroperasi di Sarawak, Pertama Ferroalloys mengendalikan kilang aloi mangan dan ferosilikon berskala besar yang pertama di Malaysia.

“Inisiatif ini melengkapkan agenda kemampanan EXIM Bank, merangkumi sasaran RM1.5 bilion dalam pembiayaan kemampanan menjelang 2027 melalui produk dan perkhidmatan berkaitan kemampanannya,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

Majlis menandatangani perjanjian antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Malaysia Nurbayu Kasim Chang dan Pengerusi Pertama Ferroalloys Hirotaka Suzuki itu berlangsung di Pavilion Malaysia, Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun.

Turut hadir menyaksikan acara itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob serta Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurus Besar Lembaga Pertama Ferroalloys Yuki Nakamura.

Nurbayu berkata kehadiran Pertama Ferroalloys di Malaysia telah menjana hubungan kukuh, merangsang permintaan untuk bahan mentah, perkhidmatan dan infrastruktur tempatan dalam menyokong rantaian bekalan global untuk ferroalloys, bahan penting dalam pengeluaran keluli digunakan merentasi sektor pembinaan, automotif, tenaga dan infrastruktur.

“Syarikat itu juga memupuk pemerkasaan tempatan dengan 87 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada pekerja tempatan (rakyat Malaysia),” katanya.

Sementara itu, Yuki berkata: "Kerjasama ini akan menjadi bukti jelas terhadap apa yang boleh dicapai apabila visi seiring dengan tindakan tegas, menyokong semangat Strategi Pembangunan pasca COVID-19 (PCDS) 2030."

Selain pengeluaran perindustrian, Pertama Ferroalloys terus memberi impak positif melalui projek ladang buluh seluas 300 hektar dilancarkan pada November 2023.

Projek penanaman buluh secara aktif melibatkan komuniti tempatan dan menyokong matlamat pembangunan hijau Sarawak di bawah PCDS 2030, ia direka untuk menyokong penyerapan karbon dan pengeluaran arang buluh.

Pada 2024, EXIM Bank membantu 144 pengeksport Malaysia dengan pemberian sokongan kewangan RM3.1 bilion menerusi takaful kredit dan pembiayaan perniagaan, membolehkan mereka meneroka pasaran baharu.

Setakat ini, 67 pengeksport telah diberi sokongan secara khusus melalui takaful kredit dengan pendedahan di 48 negara terutamanya di Asia.

-- BERNAMA