BERITA TERKINI   Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat apabila Malaysia berada pada asas lebih kukuh, dengan KDNK di landasan untuk berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif -- pertumbuhan berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti - PM Anwar | 

China Kekal Rakan Penting Malaysia Dalam Kekalutan Sistem Perdagangan Global - PM Anwar

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan China kekal sebagai rakan dagang paling penting Malaysia lebih-lebih lagi dalam keadaan kekalutan sistem perdagangan global ketika ini susulan pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata inisiatif global China memberikan harapan kerana ia berlandaskan pendekatan minda terbuka dan bukan mementingkan diri sendiri dan tidak berkisar tentang persaingan tetapi pembaharuan semula ketika dunia berada dalam keadaan tertekan disebabkan oleh pelaksanaan tarif oleh AS. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesetengah negara telah meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab dan yang lain-lain mempersoalkan komitmen yang telah lama wujud.

"Dalam tempoh yang sukar ini, dunia mengharapkan keadaan yang stabil, kebolehpercayaan dan tujuan (dan) kita melihat ini dalam pendekatan China.

“Malaysia menyedari pentingnya kekukuhan dan harapan yang dibawa ini dan berharap ia akan berterusan,” kata beliau menerusi ucapannya semasa majlis jamuan makan malam yang diadakan di Seri Perdana, di sini, sempena lawatan Presiden China Xi Jinping.

Beliau berkata kehadiran China di negara ini mencakupi pelbagai pembangunan daripada aliran barangan dan idea kepada transformasi tenaga, infrastruktur dan inovasi, namun kekuatan sebenar hubungan ini bukan sekadar hanya pada angka perdagangan atau statistik pelancong.

"Ia terletak pada pemahaman mendalam - untuk mempertahankan kemakmuran, ia perlu dikongsi; dan kepercayaan itu, yang telah dipupuk perlu dijaga dengan baik dengan sabar dan komited," kata Anwar.

Perdana Menteri juga berkata di bawah kepimpinan Xi, China telah menggariskan satu siri inisiatif global yang mencerminkan pandangan dunia yang tersendiri.

"Inisiatif Jalur dan Laluan menunjukkan bahawa ketersambungan bukan sebagai rangkaian jalan raya dan rel, tetapi sebagai rangka kerja untuk kerjasama," katanya.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, dan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka pada 2024.

Sejak 2009, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM484.12 bilion, menyumbang 16.8 peratus daripada jumlah nilai perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.

-- BERNAMA