BERITA TERKINI   Langkah Emir Qatar memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan AS berjaya redakan ketegangan di Asia Barat - PM Anwar | Iran sedia henti tindakan ketenteraan, sambut perdamaian dengan syarat Israel hentikan serangan - PM Anwar | Penerbangan balik jemaah haji KT043, KT034 hari ini dijadualkan semula atas nasihat keselamatan - TH | PM Anwar arah KPT, UMS tidak sekat perjalanan akademik pelajar terlibat isu pembakaran karikatur - PMO  | Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 akan dikuatkuasakan selepas 10 garis panduan yang dibangunkan MCMC siap sepenuhnya - Fahmi | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil, mencerminkan pergerakan asas pasaran tunai minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tunai berkemungkinan kekal tidak menentu di tengah-tengah kebimbangan yang berterusan terhadap prospek perdagangan global.

"Kami menjangkakan berlakunya turun naik yang tinggi dalam pasaran tempatan yang akan berterusan minggu depan. Sehubungan itu, kami menjangka indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,430 hingga 1,493," katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak April 2025 dan Mei 2025 masing-masing susut 54.5 mata untuk ditutup pada 1,448.00 dan 1,446.50.

Kontrak Jun 2025 turun 51.5 mata kepada 1,443.00, manakala September 2025 susut 52.5 mata kepada 1,430.00.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 75,774 lot daripada 25,964 lot sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 47,008 kontrak daripada 44,881 kontrak.

Indeks penanda aras pasaran tunai turun 49.38 mata kepada 1,454.76 daripada 1,504.14 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA