BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi menjatuhi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hukuman penjara berjumlah 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion berkaitan 1MDB | Terengganu kembali dilanda banjir, tiga PPS dibuka petang ini - APM Terengganu | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas semua 21 tuduhan pengubahan wang haram - Mahkamah Tinggi | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas tuduhan keempat guna kedudukan peroleh suapan - Mahkamah Tinggi | 

Jualan Sektor Pembuatan Tumbuh 4.7 Peratus Kepada RM153.1 Bilion Pada Feb 2025 - Perangkaan

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 4.7 peratus kepada RM153.1 bilion pada Februari 2025 (Januari 2025: 3.5 peratus), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan nilai jualan pada Februari 2025 didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, yang mencatatkan pertumbuhan menggalakkan sebanyak 14.6 peratus (Januari 2025: 10.6 peratus).

“Ini diikuti subsektor peralatan elektrik dan elektronik (E&E) dan produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi masing-masing pada 7.7 peratus (Januari 2025: 7.3 peratus) dan 4.4 peratus (Januari 2025: 2.1 peratus),” katanya dalam Perangkaan Pembuatan Bulanan bagi Februari 2025 yang diterbitkan hari ini.

Mengenai perbandingan bulan ke bulan, beliau berkata nilai jualan susut sebanyak 3.2 peratus kepada RM153.1 bilion berbanding RM158.1 bilion pada bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.1 peratus daripada jumlah jualan, meningkat 5.9 peratus pada Februari 2025 terutamanya disebabkan peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak sayuran dan haiwan sebanyak 18.3 peratus (Januari 2025: 11.1 peratus).

“Begitu juga, industri berorientasikan dalam negeri berkembang sebanyak 2.1 peratus pada Februari 2025, selepas mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.1 peratus pada Januari 2025.

"Prestasi ini disebabkan peningkatan tahun ke tahun dalam pembuatan produk pemprosesan makanan, pembuatan industri produk logam fabrikasi kecuali mesin dan peralatan, dan pembuatan asas,” katanya.

Perbandingan bulan ke bulan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing susut sebanyak 3.2 peratus dan 3.1 peratus, katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata bilangan pekerja dalam sektor itu meningkat sebanyak 1.2 peratus kepada 2.39 juta orang pada Februari 2025, manakala pada asas bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor itu menurun sebanyak 0.1 peratus.

“Gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 2.0 peratus (Januari 2025: 1.5 peratus), berjumlah RM8.4 bilion pada Februari 2025, manakala pada asas bulan ke bulan, ia turun sebanyak 0.8 peratus.

Seterusnya, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM63,961 (3.5 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,513, meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun," katanya.

Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, nilai jualan bagi sektor pembuatan berjumlah RM311.2 bilion, meningkat sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024 (Januari – Februari 2024: 1.9 peratus).

Bilangan pekerja menokok sebanyak 1.2 peratus kepada 2.39 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.8 peratus kepada RM16.9 bilion dengan nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM130,009, tumbuh 2.9 peratus.

-- BERNAMA