BERITA TERKINI   PM Anwar tuntut kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya | Kerajaan MADANI akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza - PM Anwar | PM Anwar kecam tindakan provokatif, langgar undang-undang antarabangsa tentera Israel pintas kapal bantuan FFC, Thousand Madleens ke Gaza | Kerajaan sedang kaji cadangan memperkenalkan struktur baharu akaun KWSP yang terbahagi kepada simpanan fleksibel dan simpanan pendapatan - Lim Hui Ying | Dewan Rakyat: Pelaksanaan BUDI95 tidak alami masalah besar, hanya sedikit isu ‘system glitch’ di stesen minyak - Fuziah | 

Penangguhan Tarif: SAMENTA Gesa PKS Tidak Terlalu Bergantung Pada Pasaran Tunggal

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar tidak terlalu bergantung hanya pada satu pasaran susulan penangguhan 90 hari tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden SAMENTA Datuk William Ng berkata perniagaan terutamanya PKS harus kekal berwaspada dan berdaya saing walaupun penangguhan sementara ini memberi kelegaan kepada pengeksport Malaysia.

“Kami menggesa semua pihak berkepentingan untuk bertenang, kerana reaksi panik atau tergesa-gesa boleh menyebabkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan, terutamanya bagi PKS yang bergelut mengharungi landskap global yang tidak menentu.

"Mengambil kira sumbangan PKS sebanyak 13 peratus terhadap eksport, sebarang kesan negatif terhadap keyakinan pengguna akan menjejaskan trajektori pertumbuhan negara," katanya.

Ng berkata majoriti PKS Malaysia berada dalam sektor perkhidmatan dan sangat terdedah kepada perubahan dalam keyakinan pengguna serta perbelanjaan domestik.

Bagaimanapun, langkah terbaharu AS ini menandakan bahawa masih ada ruang untuk rundingan meskipun dasar perlindungan AS diteruskan.

PKS juga digesa agar bersedia untuk kemungkinan pengembalian semula tarif selepas penangguhan tempoh tiga bulan dan menilai semula rantaian bekalan, struktur kos dan kepelbagaian pasaran mereka.

Penangguhan ini perlu dijadikan batu loncatan untuk perniagaan mengembangkan pangkalan pelanggan secara serantau, membangunkan kerjasama melangkaui destinasi eksport tradisional dan tidak terlalu bergantung pada mana-mana pasaran tunggal.

“Masa depan terletak pada 'Buatan Malaysia.' Fokus pada penciptaan nilai melalui inovasi, penjenamaan dan pengeluaran pintar, sama ada di dalam atau di lokasi ASEAN yang lebih kos efektif,” katanya.

Persatuan itu turut menggesa kerajaan untuk mempergiatkan usaha dalam membantu PKS meneroka pasaran ASEAN dan pasaran berpotensi tinggi, mengurangkan kerenah birokrasi dan halangan bukan tarif di seluruh ASEAN.

Ditubuhkan pada 1986, SAMENTA mempunyai lebih daripada 5,500 ahli di seluruh negara.

-- BERNAMA