BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 7-0 PDRM FC | MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | 

Indeks Pengeluaran Perindustrian Naik 1.5 Peratus Pada Februari 2025

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pada Februari 2025 mencatat pertumbuhan 1.5 peratus, dipacu oleh peningkatan output sektor pembuatan yang tumbuh pada 4.8 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran output sektor perlombongan dan elektrik bagaimanapun masing-masing susut pada 8.9 peratus dan 2.8 peratus.

“Dari sudut perbandingan bulanan, IPP mencatat penurunan sebanyak negatif 6.8 peratus (Januari 2025: - 0.4 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan IPP Februari 2025 hari ini yang memaparkan statistik merangkumi tiga sektor iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.

Mengulas prestasi sektor perlombongan, Mohd Uzir berkata penguncupan 8.9 peratus dicatatkan sektor perlombongan pada Februari 2025, didorong oleh penurunan pengeluaran output gas asli dan pengeluaran output petroleum mentah dan kondensat yang turun 10.3 peratus dan 6.7 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, indeks perlombongan susut kepada negatif 12.5 peratus berbanding negatif 0.5 peratus pada Januari 2025, katanya.

Beliau berkata indeks elektrik turun pada kadar 2.8 peratus pada Februari 2025 berbanding negatif 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Secara perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik kekal dalam jajaran negatif dengan penurunan kepada 6.6 peratus,” katanya.

Di peringkat global, Mohd Uzir berkata IPP bagi beberapa negara menunjukkan aliran penurunan pada Februari 2025, termasuk China (5.9 peratus), Amerika Syarikat (1.4 peratus), Jepun (0.3 peratus), Singapura (-1.3 peratus) dan Thailand (-3.9 peratus).

“Sebaliknya, Taiwan (17.9 peratus), Vietnam (17.2 peratus) dan Korea Selatan (7.0 peratus) menunjukkan peningkatan memberansangkan pada Februari 2025,” katanya.

-- BERNAMA