BERITA TERKINI   Hubungan baik Malaysia dengan Iran bantu kelancaran perjalanan bekalan minyak melalui Selat Hormuz - PM Anwar | PM Anwar jamin bekalan petrol dan diesel negara mencukupi, harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter | Untung bersih CIMB Group turun 2.9 peratus tahun ke tahun kepada RM1.91 bilion pada suku pertama 2026, perolehan berkurangan 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM5.41 bilion | Hong Leong Bank Bhd catat untung bersih RM1.02 bilion pada suku ketiga, dengan perolehan RM1.58 bilion | Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa Sabtu lepas, ditemukan meninggal dunia tengah hari ini - JBPM | 

Perang Perdagangan: Niaga Hadapan Emas Melonjak Selepas Permintaan Meningkat

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi selaras dengan keuntungan di Comex berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin memanas mula meningkatkan minat membeli.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata emas melonjak 3.3 peratus semalaman untuk ditutup pada US$ 3,082 di Comex, menandakan keuntungan satu hari terbesarnya sejak 2023.

Pengukuhan itu memacu emas menghampiri rekod tertinggi, yang kini diniagakan sekitar US$3,120. 

"Peralihan dalam sentimen pelabur menunjukkan bahawa emas kini didorong oleh kebimbangan mengenai penurunan nilai mata wang fiat berbanding penjualan secara besar-besaran bagi menutup kerugian di pasaran lain," katanya kepada Bernama.

Pada penutup hari ini, April 2025 naik kepada US$3,119.40 setiap auns troy daripada US$3,056.70 setiap auns troy semalam, manakala Mei 2025 adalah lebih tinggi pada US$3,129.80 setiap auns troy berbanding US$3,077.20 setiap auns troy sebelum ini. 

Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 kesemuanya menokok kepada US$3,142.20 setiap auns troy daripada US$3,077.20 setiap auns troy.

Jumlah dagangan bertambah kepada 653 lot berbanding 552 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 697 kontrak daripada 586 kontrak. 

Berdasarkan penetapan tengah hari 9 April. London Bullion Market Association, emas fizikal berada pada US$3,075.50 setiap auns troy.

-- BERNAMA