BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | 

Bidaan Terminal Utama PIA Di Bawah Pakej 3 Dijangka Pada Mei 2025

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bidaan untuk bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di bawah Pakej 3 dijangka dibuka pada Mei 2025 dan tempoh siap dijadualkan pada 2027.

Menurut CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota hari ini, anggaran kontrak untuk Pakej 3 mungkin bernilai sehingga RM1.2 bilion, pakej terbesar setakat ini.

Katanya tender itu merangkumi pembinaan terminal baharu dan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan terminal sedia ada termasuk kerja-kerja infrastruktur, perkhidmatan bangunan dan menambah baik reka bentuk dalaman.

“Kami tidak terkejut jika Gamuda Bhd menjadi pesaing untuk Pakej 3 sekiranya margin bidaan tidak terlalu rendah. Ia mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam kerja-kerja infrastruktur berkaitan lapangan terbang selepas mendapat kontrak RM1.9 bilion untuk membina bahagian penting Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha di bawah konsortium antarabangsa.

“Gamuda juga mempunyai kelebihan logistik berbanding pesaingnya berikutan ia sedang menjalankan kerja-kerja penambakan tanah untuk cadangan Pulau Silikon di selatan PIA," katanya.

Menurut CIMB Securities, pesaing lain termasuk IJM Corp Bhd, Malaysia Resources Corporation Bhd dan Sunway Construction Group Bhd.

“Gamuda, IJM dan MRCB sebelum ini telah menyatakan minat mereka untuk membida,” katanya.

Katanya kemudahan pembuatan keluli utama Ann Joo Resources Bhd di Seberang Prai dapat menempatkan kumpulan itu pada kedudukan yang kukuh untuk memperoleh kontrak bekalan keluli.

Projek pembesaran PIA sedang berjalan lancar, dengan kerja-kerja pembinaan di bawah dua daripada tiga pakej pertama sedang dijalankan. Ia penting untuk mengukuhkan status PIA sebagai hab penerbangan serantau utama.

-- BERNAMA