Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Tinggi Menjejaki Keuntungan COMEX
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Rabu, mengakhiri penurunan empat hari berturut-turut seiring dengan peningkatan di Bursa Komoditi New York (COMEX) dan di tengah-tengah ketegangan perang perdagangan yang memuncak.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata aliran meningkat itu walaupun hasil Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh, menunjukkan peralihan dalam sentimen pelabur.
“Dolar AS juga gagal untuk mengikut rentak, menunjukkan bahawa emas semakin dilihat bukan sahaja sebagai pelindung nilai geopolitik tetapi sebagai cerminan keyakinan yang semakin berkurangan terhadap status selamat Dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Ketika ditutup hari ini, semerta bulan April 2025 meningkat kepada US$3,056.70 setiap auns troy daripada US$3,004.50 setiap auns troy semalam, manakala Mei 2025 lebih tinggi pada US$3,067.10 setiap auns troy berbanding US$3,016.30 setiap auns troy sebelumnya.
Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 meningkat kepada US$3,077.20 setiap auns troy daripada US$3,027.50 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan melonjak kepada 552 lot daripada 187 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 586 kontrak daripada 238 kontrak sebelumnya.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 8 April, harga fizikal emas berada pada US$3,015.40 setiap auns troy.
-- BERNAMA