BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Trajektori Kecerdasan Buatan Berkembang Pantas, Berisiko Tingkatkan Jurang - PM Anwar

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran trajektori kecerdasan buatan (AI) sedang berkembang sepantas kilat dan jika kemajuan digital yang tidak seimbang ini dibiarkan tanpa kawalan, ia berisiko memperdalam jurang yang sedia ada dan meningkatkan ketidaksamaan.

Justeru, dalam hal ini, Perdana Menteri berkata pelaburan dalam literasi digital, infrastruktur, pemerkasaan dan tadbir urus perlu bergerak seiring.

Anwar berkata ekonomi digital adalah bidang yang menjanjikan prospek yang baik namun dalam masa yang sama membawa ketidaksamaan yang ketara dan walaupun transformasi digital di rantau ini sedang berjalan lancar, ia masih tidak sekata.

Beliau berkata demikian menerusi ucaptama pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan ASEAN perlu meneruskan integrasi ekonomi yang lebih besar di rantau ini, termasuk memperluaskan ketersambungan pembayaran ASEAN.

Beliau berkata rantau ini kini menikmati ketersambungan pembayaran digital antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Hari ini nanti, kita akan melancarkan lanjutan hubungan pembayaran antara Malaysia dan Kemboja, dengan sasaran untuk meliputi semua negara ASEAN yang akan membantu menggalakkan perdagangan dan pelancongan intra-ASEAN,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar merasmikan Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

-- BERNAMA