BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | 

Bursa Malaysia Gantung Jualan Singkat Intra Hari 18 Saham

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Bursa Malaysia hari ini menggantung jualan singkat intra hari (IDSS) untuk 18 saham selepas harga terakhirnya susut lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.

Saham syarikat yang digantung itu antaranya meliputi syarikat-syarikat terkenal seperti Yinson Holding Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd, Dialog Group Bhd, Malaysian Pacific Industries (MPI), EcoWorld Development Group Bhd dan Dayang Enterprise Holding Bhd.

Pada penutup dagangan, Yinson susut 35 sen kepada RM1.81, Hibiscus Petroleum turun 18 sen kepada RM1.45, MPI jatuh RM2.50 kepada RM14.66, Dialog turun 21 sen kepada RM1.23, EcoWorld susut 23 sen kepada RM1.60, dan Dayang jatuh 23 sen kepada RM1.56.

Dalam beberapa makluman berasingan, Bursa Malaysia berkata jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan pada hari dagangan berikutnya, iaitu pada pukul 8.30 pagi Selasa, 8 April, 2025.

Bursa tempatan ditutup rendah hari ini, dengan indeks penanda aras jatuh 4.01 peratus disebabkan prestasi pasaran serantau yang lemah di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan perang perdagangan global.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 60.34 mata kepada 1,443.80 daripada 1,504.14 ketika ditutup pada Jumaat.

-- BERNAMA