BERITA TERKINI   Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu berkuat kuasa 1 Feb - Mohamed Khaled | 

Pameran Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN KL Dibuka Kepada Orang Ramai Mulai Esok

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mengenali lebih banyak produk tempatan serta peluang kerjaya bagi belia pada pameran Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN KL 2025 anjuran Kementerian Kewangan yang dibuka secara percuma di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, mulai esok.

Pameran itu yang berlangsung di Aras 3, Dewan 7A, 7B dan 7C dijadual dirasmikan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan akan dibuka seawal pukul 9.00 pagi sehingga 6.00 petang. 

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan seperti Kraftangan Malaysia dan Jabatan Wilayah Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta institusi kewangan terkemuka di Malaysia merupakan antara peserta yang akan menyertai pameran tersebut.

Selain produk tempatan, pelancongan dan kerjaya untuk belia, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai  program iTEKAD khususnya peniaga kecil yang berminat memohon geran bantuan perniagaan di bawah inisiatif tersebut.

iTEKAD merupakan program kewangan sosial yang bertujuan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Pada Belanjawan 2025, sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi modal permulaan di bawah program iTEKAD.

Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN KL 2025 dianjurkan bersempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) yang akan berlangsung selama empat hari bermula esok.

-- BERNAMA