BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: 34 peratus daripada 646 muka baharu berjaya raih pingat - Ketua Pengarah MSN | Sukan SEA 2025: Jaguh wushu negara, Tan Cheong Min dinamakan atlet terbaik wanita negara – Ketua Pengarah MSN | Sukan SEA 2025: Perenang negara, Khiew Hoe Yean dinamakan atlet terbaik lelaki negara – Ketua Pengarah MSN | Calon bagi kerusi DUN Lamag akan diumumkan Pengerusi UMNO Sabah Jafry Ariffin - Ahmad Zahid | Ahmad Zahid sahkan Mohd Naim Kurniawan calon BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, Sabah pada PRK tahun depan | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Selepas AS Umum Naikkan Tarif

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia mengakhiri dagangan Khamis dengan lebih rendah, seiring prestasi pasaran niaga hadapan susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kenaikan tarif selain penyusutan ketara harga minyak mentah, kata penganalisis.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, susut 3.44 peratus kepada US$72.34 setong.

Namun, penurunan seterusnya dapat dikekang oleh data ekonomi China yang lebih positif, penyusutan ringgit berbanding dolar AS, jangkaan lebih banyak langkah rangsangan China serta bekalan getah asli (NR) yang lebih terhad daripada negara pengeluar utama getah asli susulan musim daun luruh, katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, peniaga berkata niaga hadapan getah Jepun susut ke paras terendahnya pada hari ini sejak 11 Mac lepas apabila Presiden AS Donald Trump mengumumkan beberapa tarif, sekali gus menjejaskan prospek permintaan global dan perang dagangan yang berlanjutan.

Tarif import asas 10 peratus AS itu akan berkuat kuasa pada 5 April manakala tarif lebih tinggi akan bermula pada 9 April yang akan hanya meningkatkan inflasi dan kebimbangan berlakunya kemelesetan, katanya.

“Laporan juga menyatakan kemungkinan kerajaan China melancarkan lebih banyak langkah rangsangan dalam usaha mengimbangi tarif AS," kata peniaga itu.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (SMR 20) turun 17.5 sen kepada 852.5 sen sekilogram manakala harga lateks secara pukal turun sebanyak 5.0 sen kepada 666 sen sekilogram.

-- BERNAMA