BERITA TERKINI   Senarai nama calon Ketua Pesuruhjaya SPRM telah dipersembah kepada Agong hari ini - PM Anwar | Inisiatif Rumah Bangsa tarik lebih 10,000 ahli baharu dengan lebih 6,000 merupakan pemuda - Ahmad Maslan | Polis Johor tumpaskan sindiket dadah dengan nilai rampasan dan sitaan RM1.95 juta, tahan empat individu - Ketua Polis Johor  | Isu hutang jadi motif kepada insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu di Kota Tinggi - Ketua Polis Johor | Kutipan cukai langsung LHDN cecah RM203.9 bilion pada 2025, julung kali melepasi paras RM200 bilion - PM Anwar | 

Gas Malaysia Hadkan Bekalan Gas Susulan Insiden Di Putra Heights

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Gas Malaysia Bhd telah melaksanakan pengehadan bekalan gas di beberapa kawasan berikutan saluran paip gas pecah dan terbakar baru-baru ini di Putra Heights yang menyebabkan penutupan sementara kemudahan gas berhampiran.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Shah Alam, Kundang, Petaling Jaya, Teluk Panglima Garang, Pelabuhan Klang, Pulau Indah dan kawasan sekitarnya.

Gas Malaysia berkata pelanggannya di kawasan-kawasan berkenaan telah dimaklumkan lebih awal dan akan terus menerima kemas kini seiring dengan perkembangan semasa.

"Gas Malaysia memahami cabaran yang dihadapi oleh pelanggan kami dan kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan yang relevan, termasuk pembekal gas dan pihak berkuasa, serta berusaha secara aktif untuk meminimumkan gangguan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu telah menggerakkan sumber-sumber yang diperlukan untuk memantau situasi dengan teliti sambil menekankan bahawa keselamatan dan integriti operasi kekal sebagai keutamaan mereka.

Gas Malaysia juga memberi jaminan bahawa kejadian berkenaan dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2025.

Sehubungan itu, Gas Malaysia merakamkan penghargaan di atas pemahaman dan kerjasama para pelanggan serta pihak-pihak berkepentingan sepanjang tempoh ini dan berjanji untuk menyediakan kemas kini apabila lebih banyak maklumat diperoleh.

-- BERNAMA