BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Kumpulan OCK Maklumkan Gangguan Minimum Operasi Di Myanmar Susulan Gempa Bumi

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- OCK Group Bhd (OCK) menjangkakan gempa bumi dengan kekuatan 7.7 magnitud yang melanda Myanmar pada Jumaat lepas tidak memberi kesan jangka panjang yang besar terhadap prestasi operasi atau perniagaannya di negara itu.

Penyedia penyelesaian rangkaian telekomunikasi itu berkata kira-kira 90 peratus daripada tapak menara OCK di Myanmar terletak di kawasan pinggir bandar dan pedalaman, menyebabkan ia kurang terjejas dengan aktiviti seismik berbanding di pusat bandar.

“Kedudukan geografi ini telah meminimumkan potensi gangguan pada rangkaian dan operasi kami,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut laporan tahunan OCK pada 2023, kumpulan itu mempunyai lebih 1,200 tapak di Myanmar.

Syarikat itu juga berkata pasukan operasinya sudah mengambil tindakan proaktif untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap infrastruktur menara miliknya.

“Setakat hari ini, kami sudah memeriksa 95 peratus tapak dan sebahagian besarnya menunjukkan hasil memuaskan.

“Hanya empat menara dikenal pasti memerlukan penambahbaikan berikutan kerosakan akibat gempa bumi tersebut.

“Apa yang penting, setakat ini tiada satu pun menara yang diperiksa menunjukkan kerosakan ketara yang boleh menjejaskan fungsinya dan prestasi rangkaian,” katanya.

OCK berkata pemeriksaan selanjutnya akan diteruskan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi memastikan kesemua tapak dinilai dengan teliti.

“Kehadiran kumpulan ini di peringkat serantau dan kepelbagaian portfolio menara terus memberikan daya tahan dan kami tetap yakin dengan kemampuan kami untuk mengekalkan kesinambungan perkhidmatan di Myanmar,” katanya.

Syarikat itu turut mengesahkan bahawa kesemua kakitangannya di Myanmar adalah selamat.

-- BERNAMA