BERITA TERKINI   TPM Singapura Gan Kim Yong menekankan kepentingan dialog dan libat urus antara ASEAN dan AS untuk mengelak potensi salah faham dan kekeliruan | Singapura sedang meneroka usaha bagi mewujudkan kerjasama tiga pihak dengan Malaysia dan Indonesia untuk menarik pelabur ke JS-SEZ serta wilayah Batam, Bintan dan Karimun - Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong | Kehadiran Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menandakan blok ini ialah rakan penting dari segi ekonomi dan geopolitik - Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong | ASEAN catat pencapaian penting dalam DEFA dengan berakhirnya rundingan hari ini, perjanjian dimeterai pada 2026 - TPM Singapura Gan Kim Yong | Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick hadir mesyuarat Kabinet hari ini - PM Anwar | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Diniagakan Mendatar Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka akan bergerak dalam julat yang terhad sepanjang minggu dagangan singkat minggu depan berikutan cuti umum, mencerminkan prestasi pasaran tunai.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata tumpuan pasaran minggu depan akan terarah kepada rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap semua kereta yang diimport, yang akan berkuat kuasa pada 2 April 2025.

Sementara itu, beliau berkata AS mungkin menggunakan pengharaman TikTok sebagai jalan tengah dalam menentukan pelaksanaan tarif dengan China.

Moratorium larangan TikTok oleh Presiden Donald Trump di negara itu tamat pada 5 April ini.

 "Jika tarif ini dilaksanakan seperti yang dijangka, sentimen pelabur dijangka kekal stabil, didorong oleh lebihan dagangan Malaysia yang sederhana serta impak pendedahan yang terhad," kata Mohd Sedek kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mac 2025 mencatatkan lonjakan 22.0 mata kepada 1,522.0, manakala kontrak April 2025 menambah 9.5 mata kepada 1,512.0. Kontrak Jun 2025 pula mencatatkan kenaikan 1.0 mata kepada 1,506.0, dan September 2025 meningkat 1.5 mata kepada 1,493.5.

Jumlah dagangan turut melonjak kepada 207,315 lot pada minggu ini berbanding 38,704 lot minggu sebelumnya, sementara kepentingan terbuka menokok kepada 59,411 kontrak berbanding 54,340 kontrak pada minggu lepas.

Pada Jumaat, indeks FBM KLCI ditutup pada 1,513.65, mencatatkan kenaikan 8.20 mata berbanding 1,505.45 minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia serta anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa (31 Mac dan 1 April) bersempena dengan cuti umum Aidilfitri, tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

-- BERNAMA