BERITA TERKINI   Konflik AS-Iran: Kedua-dua pihak perlu berundur dan segera kembali kepada diplomasi dengan lebih serius - PM | Konfrontasi antara Washington dan Tehran akan pengaruhi Timur Tengah - Anwar | PM Anwar luah kebimbangan mendalam terhadap ketegangan memuncak antara AS dan Iran | Jadikan peningkatan mutu pendidikan keutamaan, angkat Malaysia sebagai negara maju - PM Anwar | IKM, KKTM dan MJII dijenamakan semula, dikenali sebagai TVETMARA - TPM Zahid Hamidi | 

Mekanisme Penyasaran Subsidi RON95 Masih Diperhalusi, Sistem MyKad Dalam Pertimbangan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 sedang diperhalusi yang akan melibatkan harga dua peringkat dengan kemungkinan menggunakan sistem MyKad, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata kerajaan tidak mahu membuat sebarang pra-pengumuman mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada masa ini dan dijangka mengumumkannya selepas separuh pertama tahun ini.

“Perkara paling penting yang kami ingin pastikan ialah sistem itu kukuh. Kami akan menggunakan harga dua peringkat: harga tidak bersubsidi dan harga bersubsidi.

“Lebih 85 peratus rakyat akan mendapat harga bersubsidi. Itulah pendekatan penyasaran subsidi di Malaysia,” katanya pada sidang media pada pelancaran sistem pembayaran terbuka RapidKL Atas Permintaan (On-Demand) Prasarana hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata sistem MyKad yang akan digunakan dalam penyarasan subsidi boleh berpandukan sistem yang digunakan dalam pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Buat masa ini, seramai 700,000 orang (menerima SARA) dan bermula minggu depan akan dinaikkan kepada 5.4 juta orang yang akan mendapat (SARA) dan mereka menggunakan MyKad.

“Terdapat lebih 3,500 kedai runcit dan pasar raya yang boleh menggunakan sistem MyKad untuk SARA. Oleh itu, kalau kita boleh menggunakan MyKad untuk 5.4 juta orang dengan 3,500 kedai, ia tidaklah berbeza jika kita menggunakannya untuk RON95 juga,” katanya. 

Pada masa ini, seramai 700,000 orang menerima SARA berjumlah RM50 hingga RM100 sebulan yang digunakan untuk membeli barang menggunakan sistem MyKad. 

-- BERNAMA