BERITA TERKINI   Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | 

Grab Malaysia, MDEC Meterai MoU Bagi Tingkatkan Pendigitalan PMKS

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Grab Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menyokong usaha pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah Inisiatif Pendigitalan Perniagaan MDEC.

Grab dalam satu kenyataan berkata pihaknya komited memanfaatkan teknologi bagi memacu pemerkasaan ekonomi dan pertumbuhan terangkum bagi perniagaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Tenggara.

Pada 2023 sahaja, lebih 500,000 PMKS yang baru berdaftar di seluruh Asia Tenggara mendapat akses kepada pengguna melalui platform Grab.

"Di Malaysia, berdasarkan kajian terkini oleh EconWorks, rakan perniagaan di platform ini menyumbang sebanyak RM4.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara pada 2023," katanya.

Grab berkata aplikasi GrabMerchant yang menyediakan cerapan berasaskan data untuk perniagaan menjadi antara instrumen yang tersedia untuk menyokong pertumbuhan PMKS.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Adelene Foo berkata kerjasama dengan MDEC akan membantu memperluas sokongan untuk lebih banyak PMKS di Malaysia selain meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi digital.

"MoU ini menandakan satu langkah lagi dalam usaha berterusan Grab untuk menyokong perniagaan tempatan dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan MDEC dan rakan-rakan yang sehaluan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

"Selain itu kerjasama ini dapat memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan ekonomi digital," katanya.

-- BERNAMA