BERITA TERKINI   MOT kekal sasaran operasi ECRL bermula Januari 2027 - Loke | JPJ perlu beralih kepada pendekatan baharu dalam pelaksanaan sekatan jalan raya - Loke | Tiada tolak ansur terhadap sebarang bentuk penyelewengan dana masjid, surau - Sultan Selangor | Sultan Selangor titah masjid dan surau hendaklah bebas sepenuhnya daripada sebarang pengaruh politik kepartian | ISF Group Bhd mula didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 50 sen, premium 17 sen daripada harga IPO 33 sen, dengan 50.14 juta saham bertukar tangan | 

Dewan Negara Lulus RUU CCUS 2025

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Dewan Negara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 hari ini bagi memberi peluang kepada pengembangan pelaburan serta ekonomi negara.

RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli. 

Terdahulu ketika menggulungkan RUU berkenaan, Rafizi berkata kerajaan perlu praktikal dalam pelaksanaan RUU berkenaan.

“Kalau kita hendak pastikan kegiatan ekonomi terus segar dan rakyat terus mendapat peluang pekerjaan yang baik, maka kita perlu pastikan seimbangkan pengeluaran karbon (dioksida) itu selain dengan cara semula jadi iaitu melalui cara menanam dan mengekalkan pokok, namun, itu pun tidak cukup.

“Maka sebab itulah CCUS merupakan satu perkara yang penting dalam dasar negara untuk kita memerangkap karbon,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang 2026 bagi menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.

Beliau berkata dengan adanya hab CCUS, ia akan dapat memanjangkan potensi negeri di pesisiran pantai Timur terutamanya Kertih, Terengganu sebagai pusat industri. 

“Dengan adanya CCUS, ia boleh mewujudkan industri baharu yang akan membawa masuk industri-industri lain ke negeri. CCUS ini akan menjadi daya tarikan untuk kita menyahkarbon industri berat.

“(Bila) industri berat baharu masuk dari situlah kerajaan negeri akan dapat mengutip cukai pintu, cukai tanah dan yang lain-lain selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

“Untuk buat CCUS di pesisir pantai, sudah tentu diperlukan terminal dan terminal ini sudah tentu perlu bayar kepada kerajaan negeri dari segala bentuk yang biasa. Oleh sebab itu, CCUS ini memberi nyawa baharu kepada industri berat di pantai Timur,” katanya.

Penggubalan RUU CCUS itu dilaksanakan berlandaskan pendekatan di seluruh negara.

Bagi memastikan aktiviti berkaitan CCUS yang akan dilaksanakan seiring dengan keputusan Jemaah Menteri, Kementerian Ekonomi mewujudkan struktur tadbir urus inisiatif CCUS kebangsaan.

Struktur tadbir urus itu terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan lima Kumpulan Fokus yang dianggotai wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan, kerajaan negeri, ahli akademik serta pemain industri.

-- BERNAMA