BERITA TERKINI   MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | MPI: Wartawan Bernama TV Shahrul Aini, Wan Syahrina menang Perak bagi kategori Bicarawara Video Terbaik | Bernama rangkul Perak bagi katergori Kewartawanan ESG terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas | Jurugambar Bernama Mohd Syafiq @ Ridzuan Ambak menang perak kategori Kewartawanan Foto Terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas. | Jurugambar Bernama Mohd Safwan Mansor menang emas untuk kategori foto esei terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas | 

Dasar Desentralisasi Rizab Antarabangsa Perluas Kedudukan Luaran Malaysia - BNM

 

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bank negara Malaysia (BNM) berkata dasar desentralisasi rizab antarabangsa BNM sejak dahulu telah menyebabkan pengumpulan aset luaran bukan rizab yang besar dan memperluas kedudukan luaran Malaysia.

Ia berkata kedudukan aset luaran dalam mata wang asing (FCY) bersih berada pada RM1.3 trilion atau 65.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dengan mengambil kira kedudukan ini, penambahan nilai ringgit berbanding dolar AS dan mata wang utama lain telah menyebabkan peningkatan aset luaran FCY yang lebih kecil berbanding dengan liabiliti luaran FCY,” kata bank pusat itu di dalam Tinjauan Ekonomi Dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini.

BNM berkata pengumpulan aset luaran dalam denominasi FCY oleh bank-bank dan syarikat korporat sejak beberapa tahun, dengan bahagian mudah tunai yang berjumlah RM945.9 bilion, dapat digunakan untuk memenuhi obligasi hutang luar negeri jangka pendek sebanyak RM575.4 bilion dan tidak melibatkan sebarang tuntutan terhadap rizab antarabangsa.

Bank pusat itu berkata rizab antarabangsanya berjumlah US$116.2 bilion (RM520.1 bilion) pada akhir 2024 memadai untuk membiayai 4.9 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

“Meskipun begitu, cara lain untuk memenuhi obligasi luaran tetap tersedia dan akan terus diperkukuh,” katanya.

BNM berkata pada akhir 2024, kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) bersih Malaysia mencatatkan kedudukan liabiliti luaran bersih sebanyak -RM6.7 bilion, bersamaan dengan -0.3 peratus daripada KDNK.

Hal ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan liabiliti luaran yang lebih besar sebanyak RM197.9 bilion, didorong terutamanya oleh FDI yang lebih tinggi, katanya.

“Peningkatan liabiliti luaran ini telah lebih daripada mengimbangi peningkatan aset luaran sebanyak RM67.5 bilion terutamanya daripada pelaburan portfolio. Bagaimanapun, peningkatan dalam aset luaran dan liabiliti luaran sebahagiannya diimbangi oleh kesan penilaian kadar pertukaran, khususnya disebabkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS,” kata BNM.

Sementara itu, BNM berkata Malaysia menghadapi prospek untuk meletakkan semula kedudukannya sebagai rakan kongsi neutral dan penting dalam rantaian nilai industri elektrik dan elektronik (E&E).

“Oleh itu, Malaysia perlu proaktif dalam membentuk penentukuran semula yang berterusan demi mencapai manfaat sepenuhnya. Untuk mencapai matlamat ini, industri E&E dalam negeri perlu mengubah hala tuju dan meningkatkan keupayaan untuk bersaing pada skala global,” katanya.

BNM berkata berasaskan ekosistem yang sudah matang serta kekuatan sedia ada dalam proses pemasangan, pengujian, dan pembungkusan, wujud peluang untuk beralih ke arah penciptaan nilai yang lebih besar pada peringkat penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk dan pembikinan cip.

“Akhirnya, mewujudkan ekosistem semikonduktor dalam negeri yang lebih dinamik dan berdaya tahan akan membolehkan industri menghadapi volatiliti kitaran teknologi global dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia dan kemakmuran untuk rakyat,” katanya.

--BERNAMA