BERITA TERKINI   SUKMA 2026 : Pelaksanaan pada skala kecil untuk jimat kos, jumlah sukan dipertandingkan tidak terjejas - Dr Mohammed Taufiq | SUKMA Selangor 2026 diteruskan ikut jadual Ogos ini - Dr Mohammed Taufiq | BUDI95 dilihat sebagai langkah tepat dalam reformasi subsidi bahan api bersasar Malaysia - Bank Dunia | Malaysia tidak perlukan rangsangan ekonomi susulan krisis Asia Barat - Bank Dunia | Bank Dunia semak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2026 kepada 4.4 peratus daripada 4.1 peratus disokong permintaan domestik kukuh | 

SC Terima 8,501 Kes Pada 2024 Termasuk Aktiviti Tidak Berlesen, Penipuan

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima sejumlah 8,501 kes yang terdiri daripada 3,910 aduan dan 4,591 pertanyaan pada 2024, mewakili peningkatan 60 peratus daripada 2023 sebanyak 5,318 kes.

Menerusi Laporan Tahunan SC 2024 yang dikeluarkan hari ini, katanya peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh aktiviti tidak berlesen dan penipuan yang masing-masing membentuk 51.3 peratus dan 62.2 peratus daripada jumlah aduan dan pertanyaan yang diterima.

“Aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen telah meningkat secara konsisten dengan peningkatan 337 peratus daripada 2019 hingga 2024,” kata badan kawal selia itu.

Menurut SC walaupun peningkatan keseluruhan kelihatan membimbangkan, hakikatnya lebih ramai orang melaporkan penipuan dan aktiviti tidak berlesen serta lebih ramai yang tidak menjadi mangsa kepada aktiviti dan penipuan ini sebelum tampil ke SC merupakan satu perkembangan positif.

“Menerusi aduan dan pertanyaan yang diterima,SC berjaya mendapatkan gambaran mengenai trend semasa dan modus operandi yang sedang muncul.

“Ini seterusnya membolehkan SC mengambil langkah-langkah yang perlu dengan segera supaya aktiviti haram dapat dibendung bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, SC berkata berkata sehingga 31 Dis 2024, terdapat sejumlah 62 kes siasatan aktif.

SC yang menjalankan mandatnya untuk melindungi pelabur terus memperuntukkan sumber yang banyak untuk siasatan yang melibatkan penipuan sekuriti dan salah laku korporat, aktiviti tidak berlesen, dan pelanggaran penzahiran, yang merupakan dua pertiga daripada kes siasatan aktif SC pada 2024.

“Pada 2024, pegawai penyiasat SC merekodkan kenyataan daripada 373 individu, dengan lebih separuh diperoleh daripada pelabur/pemegang akaun, golongan profesional seperti pegawai bank pelaburan, juruaudit dan peguam, serta pekerja, pengarah dan pengurusan kanan syarikat tersenarai awam.

“Perkara ini mencerminkan siasatan aktif SC yang menyasarkan penipuan sekuriti dan kesalahan salah laku korporat,” katanya.

Selain itu, SC turut menjalankan beberapa siri serbuan di 14 lokasi di seluruh negara untuk mengumpulkan bukti dokumentari untuk siasatan yang sedang dijalankan.

Menurutnya operasi ini telah mendapat kerjasama yang padu daripada individu dan syarikat yang terlibat.

-- BERNAMA