Unit ITMAX Dilantik Sebagai Pengendali Smart Parking Di Mersing Berkuat Kuasa 1 Mei
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Anak syarikat ITMAX System Bhd, Southmax Sdn Bhd telah dilantik oleh Majlis Daerah Mersing sebagai pengendali tempat letak kereta pintar (smart parking) untuk parkir di kawasan terbuka di kawasan Mersing.
ITMAX dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan itu akan berkuat kuasa 1 Mei, 2025 untuk tempoh selama 15 tahun.
"Di bawah model perkongsian hasil, Southmax akan menerima 70 peratus daripada hasil dijana daripada kutipan parkir dan kompaun dikutip menerusi aplikasi Parkmax@Johor," katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX William Tan Wei Lun berkata pelantikan itu menandakan kontrak tempat letak kereta pintar ketujuhnya di Johor, mengukuhkan komitmen ITMAX untuk mengembangkan penyelesaian mobiliti bandar pintar di seluruh rantau ini
“Dengan teknologi dikuasakan kecerdasan buatan kami, kami yakin penyelesaian parkir pintar akan menyelaraskan kutipan hasil, meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan kadar kutipan untuk majlis perbandaran.
"Dengan menyepadukan pengurusan tempat letak kereta ke dalam ekosistem bandar pintar lebih luas, kami menyasarkan untuk mewujudkan persekitaran bandar lancar dan dipacu data, menambah baik kemudahan untuk penduduk dan perniagaan," katanya.
-- BERNAMA