BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

ST Rosyam Mart Sasar Nilai Jualan Cecah RM2 Bilion Tahun Ini

KLANG, 20 Mac (Bernama) -- Rangkaian pasar borong dan runcit ST Rosyam Mart menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2 bilion tahun ini menerusi lapan cawangan seluruh negara termasuk premis baharu di Jalan Kebun di sini yang dibuka semalam.

Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Rosyam Nor berkata sasaran itu dilihat mampu dicapai memandangkan rangkaian pasaraya itu merekodkan hasil jualan mencecah RM1.4 bilion tahun lepas.

"Dengan konsep memenuhi keperluan seisi keluarga merangkumi makanan, fesyen, hiburan, teknologi dan aktiviti sukan pickleball di bawah satu bumbung, saya optimis sasaran itu boleh dicapai.

“Selain itu, kami juga memperkenalkan sistem pandu lalu pengambilan barang pesanan kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian di ST Rosyam Mart sekali gus menambah potensi kepada peningkatan jualan di premis kami," katanya semasa majlis pembukaan cawangan baharu syarikat itu di sini.

Pembukaan rasmi cawangan kelapan ST Rosyam Mart di atas tapak seluas 114,000 kaki persegi itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Rosyam berkata pembukaan cawangan itu mencerminkan keprihatinan pihaknya terhadap kehendak rakyat membeli barangan segar dan berkualiti pada kadar harga mampu milik serta jimat.

"Pembukaan cawangan baharu ST Rosyam Mart adalah manifestasi kepada prinsip perniagaan kami iaitu menawarkan barangan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosyam berkata pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk terlibat sama dalam inisiatif Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada masa akan datang.

-- BERNAMA