BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Perodua Meterai Perjanjian Dengan MyDigital ID Bagi Peroleh Akses Pengesahan Pengguna

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan My Digital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) bagi mendapatkan akses pengesahan pengguna seiring usaha syarikat kenderaan kompak itu ke arah transaksi tanpa tunai.

MyDigital ID merupakan inisiatif Identiti Digital Nasional yang selamat dan dipercayai selain dibangunkan untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan akses yang selamat serta lancar bagi perkhidmatan digital kerajaan dan swasta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata proses pengesahan yang dijalankan merupakan titik permulaan yang selamat bagi memastikan semua pengguna dilindungi oleh pakar keselamatan siber di negara ini.

“Kerjasama ini merupakan yang pertama seumpamanya bagi industri automotif di negara ini dan memandangkan MyDigital ID bertindak sebagai pengawal akses atau ‘gatekeeper' bagi pengesahan transaksi di negara ini.

"Ia membolehkan kami mempelbagaikan lagi perkhidmatan kepada para pelanggan kami khususnya serta kepada semua rakyat Malaysia secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat juga menyokong seruan kerajaan ke arah komuniti tanpa tunai di samping memanfaatkan ciri keselamatan siber kukuh yang disediakan oleh MyDigital ID.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MyDigital ID, Mohd Azuddin Parman berkata kerjasama strategik dengan Perodua menunjukkan kepentingan peranan identiti digital bagi memacu pembaharuan digital di dalam industri automotif.

“Kuncinya iaitu memastikan pengesahan identiti digital yang dipercayai di samping menjadikan interaksi digital lebih selamat dan mudah. Ia memperkasakan industri seperti automotif untuk menawarkan pengalaman selamat dan mesra pengguna kepada setiap pelanggan," katanya.

-- BERNAMA