BERITA TERKINI   Kira-kira 60 peratus kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri musnah terbakar, tiada mangsa terlibat - Bomba Johor | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi, Jejaki Pasaran Global Ke Paras Tertinggi Baharu

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup dengan kukuh pada Jumaat, mengikuti rapat pasaran emas global apabila harga melonjak ke paras tertinggi baharu sepanjang masa iaitu US$2,990,21 seaun, kata seorang penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata harga emas melonjak ke rekod tertinggi berikutan serangan tarif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan kebimbangan pertumbuhan yang berpanjangan mendorong pelabur untuk beralih kepada aset selamat.

"Satu lagi rangsangan untuk emas berlaku pada Khamis apabila Trump mempertingkatkan perang dagangnya selain mengancam untuk mengenakan tarif 200 peratus ke atas wain Eropah, champagne dan import alkohol lain.

“Trump juga menolak pemansuhan levi keluli dan aluminium yang berkuat kuasa minggu ini dan mengesahkan komitmennya untuk menghapuskan tarif timbal balik yang ditetapkan seawal 2 April,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kontrak bulan semerta Mac 2025 meningkat kepada US$2,999.60 setiap auns troy daripada US$2,951.20 pada Khamis manakala April 2025 naik kepada US$3,009.90 daripada US$2,961.50.

Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 semuanya melonjak kepada US$3,019.90 setiap auns troy daripada US$2,971.50 setiap auns troy pada Khamis.

Jumlah dagangan menokok kepada 419 lot daripada 281 lot manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 454 kontrak daripada 351 kontrak.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 13 Mac 2025, harga emas fizikal berada pada US$2,974.05 setiap auns troy.

-- BERNAMA