BERITA TERKINI   12 MAUT, DUA PARAH DALAM KEMALANGAN BAS-TRAILER DI GHANA | Malaysia, Pakistan komited perkukuh hubungan dua hala, keamanan serta kemakmuran sejagat - PM Anwar | Malaysia, Pakistan bincang langkah tegas hentikan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza, Lubnan- PM Anwar | Malaysia hargai peranan pengantaraan Pakistan dalam rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat - PM Anwar | PM Anwar ucap Selamat Hari Raya Aidiladha kepada PM Pakistan Shehbaz Sharif, harap persaudaraan terus kukuh | 

Suntikan Modal Tidak Manfaatkan Pemegang Saham, Pengurusan SEB - PM Anwar

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Suntikan modal baharu yang diberikan kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd )SEB) tidak sama sekali manfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam usaha penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan syarikat tersebut.

Pengurusan baharu profesional telah dilantik bagi melaksanakan proses penstrukturan semula syarikat itu, kata beliau.

“Suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan 2,000 vendor PKS (perusahaan kecil dan sederhana) minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat bumiputera.

“Suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka. Ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan,” kata beliau dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata proses audit sememangnya telah dilaksanakan dan ketekunan wajar tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.

“Selanjutnya, dapatan ketekunan wajar ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak,” kata beliau.

Beliau berkata Kerajaan MADANI tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan.

Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah, kata beliau.

Anwar menegaskan suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas yang strategik untuk ekonomi negara.

-- BERNAMA