BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

Rancang Penanaman Semula Sawit Secara Berjadual Untuk Hasilkan BTS Pada Kematangan Optimum - Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyeru pemilik ladang dan syarikat perladangan merancang penanaman semula sawit bagi mengekalkan produktiviti ladang dengan pokok matang yang menghasilkan buah tandan segar (BTS) secara optimum.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata rancangan penanaman semula secara berjadual untuk mengurangkan keluasan pokok tua akan mengekalkan produktiviti ladang dengan pokok matang berusia 10 hingga 15 tahun.

"Pokok sawit berumur lebih 25 tahun tidak produktif dalam pengeluaran buah dan faktor ketinggiannya menyukarkan penuaian serta meningkatkan kos buruh.

"Peningkatan jumlah pokok sawit tua akibat kadar penanaman semula yang rendah turut menjejaskan produktiviti industri," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Chan berkata purata kadar penanaman semula sawit estet bagi tempoh 2014 hingga 2024 hanya sekitar 2.2 peratus, sangat rendah berbanding empat peratus hingga lima peratus yang disyorkan.

"Bagaimanapun berdasarkan statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), hasil BTS estet menunjukkan peningkatan selama tiga tahun berturut-turut walaupun kadar tanam semula masih di bawah paras disyorkan.

"Hasil BTS meningkat daripada 15.47 tan sehektar (2021), 15.49 tan sehektar (2022) dan 15.79 sehektar (2023) kepada 16.70 tan sehektar  pada 2024," katanya.

Sehubungan itu, Chan berkata kementerian akan terus melaksanakan langkah strategik bagi meningkatkan hasil BTS estet dan memastikan industri sawit Malaysia kekal berdaya saing serta terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA