BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

Jualan Singkat Saham NationGate Digantung Sepanjang Hari Ini

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mengumumkan jualan singkat harian (IDSS) untuk NationGate Holdings Bhd telah digantung sepanjang hari ini.

Ini berikutan kejatuhan harga saham lebih daripada 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, bursa itu berkata jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan semula Selasa, 11 Mac pada pukul 8.30 pagi.

Sehingga 11.48 pagi, saham NationGate turun 19 sen kepada RM1.14 dengan 48.34 juta saham bertukar tangan.

NationGate merupakan pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik yang terkemuka, khususnya dalam penyelesaian termaju sejak 2010.

Pada Isnin minggu lepas, Bursa Malaysia Securities mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa kepada syarikat itu berhubung kejatuhan mendadak harga sahamnya.

Menjawab pertanyaan itu, NationGate berkata tiada sebarang perkembangan korporat melibatkan syarikat atau anak syarikatnya yang belum diumumkan sebelum ini, termasuk yang masih dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang boleh menjelaskan aktiviti dagangan berkenaan.

Ia selanjutnya menjelaskan NationGate tidak terlibat dalam kes mahkamah yang sedang berlangsung yang mana tiga individu didakwa melakukan penipuan di Singapura atas dakwaan pergerakan cip Nvidia.

-- BERNAMA