BERITA TERKINI   Pelancong dinasihatkan mengikuti panduan daripada pasukan syarikat penerbangan dan lapangan terbang di terminal, menyemak dengan syarikat penerbangan untuk maklumat terkini jadual penerbangan - MAHB | Situasi di semua lapangan terbang kami diuruskan dengan teliti, keselamatan dan keselesaan penumpang terus menjadi keutamaan - Malaysia Airports | Sistem pemprosesan penumpang global yang digunakan oleh pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia kini mengalami gangguan sementara, yang boleh memberi impak kepada proses daftar masuk dan menaiki pesawat - Malaysia Airports | Syarikat penerbangan di Malaysia Airports telah mengaktifkan prosedur kontingensi dan pasukan lapangan terbang sedia membantu pemprosesan penumpang jika perlu - Malaysia Airports | Titah Adendum: PM Anwar seru semua pihak tangani isu dengan penuh sabar dan bijaksana, tidak wajar tambah ketegangan | 

Ketidaktentuan Global Dorong Getah Tempatan Ditutup Rendah

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meneruskan penyusutan hari ini ketika pasaran getah serantau mengalami isyarat bercampur-campur memandangkan perubahan dasar tarif mencetuskan ketidaktentuan dan meningkatkan kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Menurutnya sentimen pasaran turut dijejaskan oleh data ekonomi China yang lembap dan ketegangan perdagangan AS-China yang meningkat.

"Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan terhadap bekalan getah berikutan musim daun pokok getah luruh di negara pengeluar getah asli dan harga minyak mentah yang stabil," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata eksport China untuk tempoh Januari hingga Februari meningkat 2.3 peratus tahun ke tahun dari segi nilai manakala import menurun pada kadar tidak dijangka iaitu 8.4 peratus, dipacu oleh penurunan import yang lebih besar berbanding jangkaan berikutan tarif perdagangan AS dan permintaan domestik yang lemah.

Sementara itu, harga minyak kekal stabil hari ini, bergerak menghampiri paras terendah tahun ini memandangkan perubahan dasar tarif AS dan kebimbangan terhadap peningkatan bekalan memberikan tekanan ke atas pasaran.

Lembaga Getah Malaysia melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 menyusut lima sen kepada 899.50 sen sekilogram pada 3 petang manakala lateks pukal merosot dua sen kepada 708.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA