BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Transaksi Hartanah Komersial Malaysia Meningkat, Cerminkan Trend Global - Knight Frank

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Malaysia merekodkan peningkatan transaksi hartanah komersial, didorong oleh individu bernilai bersih tinggi (HNWI) dan pelabur institusi yang mahu mencari nilai jangka masa panjang, sekali gus mencerminkan trend global, menurut Knight Frank Malaysia.

Menerusi kenyataan pada Rabu sempena “Wealth Report 2024” penerbitan utamanya, firma itu menjelaskan peningkatan semula tersebut adalah sejajar dengan pertambahan jumlah individu HNWI Malaysia, menunjukkan pengumpulan kekayaan dan minat pelaburan yang semakin meningkat.

Pelaburan transaksi hartanah komersial gobal meningkat kukuh pada 2024 kepada US$806 bilion, menandakan kenaikan lapan peratus tahun ke tahun selepas penguncupan ketara 43 peratus pada 2023, menunjukkan keyakinan baharu dalam kalangan pelabur, menurutnya.

Firma itu memaklumkan aliran modal rentas sempadan turut memperoleh momentum meningkat sebanyak 12 peratus kepada US$171 bilion sekali gus membuktikan minat global terhadap pelaburan hartanah.

Modal swasta terus menguasai pasaran transaksi hartanah komersial pada 2024, dengan pelabur institusi menggunakan US$268 bilion, mewakili 33 peratus daripada jumlah pelaburan.

Pelabur pasaran awam pula mencatatkan peningkatan tertinggi tahun ke tahun dengan kenaikan 22 peratus dari segi jumlah pelaburan.

“Di Malaysia, pelabur swasta sangat aktif dalam sektor pejabat dan perindustrian apabila  memanfaatkan permintaan kukuh terhadap aset berkualiti tinggi.

“Sektor perindustrian menerajui pelaburan global, memperoleh US$216 bilion, manakala sektor kediaman mengikuti rapat dengan US$205 bilion. Pelaburan pejabat mencecah US$173 bilion, menandakan pemulihan keyakinan terhadap aset tempat kerja,” menurut Knight Frank Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Keith Ooi berkata pasaran hartanah komersial Malaysia terus berkembang, dengan pelabur menunjukkan minat mendalam terhadap aset pejabat utama dan logistik.

Beliau berkata memandangkan keadaan ekonomi yang stabil dan kos pembiayaan semakin berkurangan, gelombang pemerolehan strategik dijangka wujud khususnya di pusat bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Pelabur semakin mencari nilai jangka masa panjang, dan kebangkitan semula modal swasta berperanan peranan penting dalam pemulihan ini," katanya.

Mengenai HNWI, Knight Frank Malaysia menjelaskan bilangan HNWI di seluruh dunia meningkat 4.4 peratus untuk mencecah 2.34 juta individu.

Amerika Utara mendahului peningkatan itu dengan meningkat 5.2 peratus, diikuti oleh Asia pada 5.0 peratus, Afrika sebanyak 4.7 peratus dan Australasia pada 3.9 peratus.

Timur Tengah (2.7 peratus), Amerika Latin (1.5 peratus), dan Eropah (1.4 peratus) turut merekodkan kenaikan.

“Malaysia menjadi penerima manfaat utama daripada pertumbuhan kekayaan ini, dengan peningkatan bilangan individu ultra-kaya yang mempelbagaikan portfolio mereka dengan melibatkan hartanah.

“Negara ini kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan hartanah bernilai tinggi, khususnya dalam segmen kediaman mewah dan komersial utama,” tambah Knight Frank Malaysia.

Firma itu juga memaklumkan minat pelabur antarabangsa kekal kukuh terutama terhadap sektor pejabat utama dan hospitaliti di Kuala Lumpur, dengan kumpulan modal yang besar sedia untuk digunakan, meletakkan 2025 sebagai tempoh penting untuk pasaran hartanah negara.

Firma itu juga menjelaskan dengan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam landskap pelaburan Asia Tenggara, pelabur domestik dan antarabangsa dijangka memanfaatkan peluang yang muncul, mengukuhkan lagi pasaran hartanah negara sebagai destinasi pelaburan pilihan.

-- BERNAMA