BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

ADV Pasaran Lonjak 50 Peratus Kepada RM3.15 Bilion Bukti Keyakinan Pelabur - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Prestasi pasaran modal Malaysia dengan purata nilai harian (ADV) tumbuh lebih 50 peratus kepada RM3.15 bilion pada 2024 berbanding RM2.06 bilion bagi tahun sebelumnya, mencerminkan keyakinan dan minat pelabur, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata permodalan pasaran juga meningkat hampir 16 peratus daripada RM1.80 trilion pada 2023 kepada RM2.08 trilion pada 2024.

“Halaju pasaran juga menunjukkan peningkatan kepada 39.4 peratus pada 2024 berbanding 29.3 peratus tahun 2023,” katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Manolan Mohamad mengenai faktor peningkatan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia susulan penyenaraian 55 syarikat  pada 2024 serta jumlah sasaran penyenaraian bagi tahun ini.

Amir Hamzah berkata Bursa Malaysia mencatat pencapaian cemerlang pada tahun lepas dari segi tawaran awam permulaan (IPO) dengan menduduki tempat pertama dalam kalangan bursa-bursa ASEAN bagi bilangan IPO serta jumlah dana IPO yang terkumpul.

Penyenaraian 55 IPO itu juga merupakan peningkatan ketara sebanyak 72 peratus berbanding hanya 32 IPO pada 2023.

Amir Hamzah berkata jumlah dana yang diperoleh menerusi IPO itu meningkat sebanyak 107 peratus kepada RM7.42 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Ia turut menyumbang kepada peningkatan nilai permodalan pasaran sebanyak 130 peratus kepada RM31.37 bilion berbanding tahun sebelumnya. 

"Jumlah rekod dan prestasi keseluruhan IPO 2024 yang baik adalah bukti minat daripada pelabur domestik dan antarabangsa yang yakin terhadap prospek ekonomi Malaysia dan rangka kerja kawal selia kukuh dilaksanakan oleh pengawal selia pasaran. 

"Antara faktor (penyumbang) lain ialah kestabilan politik di Malaysia dan juga hala tuju negara yang jelas seperti kerangka Kerja Ekonomi MADANI yang menyediakan pertumbuhan berstruktur, progresif dan mengembang kepada ekonomi negara dan memberi sumbangan peningkatan kepada pasaran modal," katanya.  

Amir Hamzah berkata susulan momentum yang dicapai dalam 2024, Bursa Malaysia telah menyasarkan sebanyak 60 IPO pada 2025.

-- BERNAMA