BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

PDC Dan SP Setia Bekerjasama Majukan Taman Perindustrian, GDV Serendah RM1.2 Bilion

GEORGE TOWN, 3 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjalin usaha sama dengan SP Setia Bhd bagi memajukan sebuah taman perindustrian di Bandar Setia Fontaines, Bertam di Kepala Batas, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion hingga RM1.6 bilion.

Ketua Pegawai Operasi SP Setia Datuk Zaini Yusoff berkata pembangunan taman perindustrian industri ringan dan sederhana berkeluasan kira-kira 130 hektar dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau berkata kerjasama itu diharap memberi manfaat kepada penduduk Pulau Pinang selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Kita akan utamakan konsep industri itu dan akan tekankan kepada pelaksanaan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) supaya (dapat) menjadi kawasan industri terbaik di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian kerjasama antara PDC dan SP Setia di sini hari ini.

PDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aziz Bakar manakala SP Setia diwakili Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Choong Kai Wai serta Zaini selain disaksikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Zaini berkata taman perindustrian itu dibina dalam Bandar Setia Fontaines yang berkeluasan kira-kira 684 hektar dan merangkumi pembangunan bercampur-campur iaitu perumahan, bangunan komersial, peruncitan, taman, landskap hijau, institusi pendidikan, infrastruktur rekreasi dan sosial.  

"Kerjasama dengan PDC hanya untuk taman perindustrian dan kita tidak tunggu lama untuk membangunkannya dengan nilai GDV itu,” katanya.

Sementara itu, Chow yang juga Pengerusi PDC berkata pembangunan itu bertujuan mengimbangi kepesatan pembangunan industri di Bertam dengan pembangunan hartanah yang lebih hijau serta mampan.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama SP Setia dengan PDC untuk memajukan sebuah taman industri bernilai tinggi dan mematuhi prinsip ESG sebagai satu tapak industri yang moden dengan pengurusan yang baik yang dapat menarik pelaburan yang bernilai tinggi.

"Saya percaya kawasan industri itu akan menyediakan tapak-tapak kilang pelbagai saiz untuk memenuhi permintaan industri yang boleh menambah dan memperkukuh ekosistem serta rantaian bekalan," katanya.

Chow berkata ini memandangkan syarikat multinasional memerlukan sokongan rantaian bekalan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan tapak industri berkenaan akan menyediakan banyak peluang bagi pembangunan kilang PKS.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi merealisasikan kerjasama itu dan semoga ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang menberi manfaat jangka panjang kepada semua, khususnya negeri ini," katanya.

-- BERNAMA