BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | 

PIFF 2025 Anjuran Pernas Raih Transaksi Jualan RM21.3 Juta

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) merekodkan transaksi jualan berjumlah RM21.3 juta pada acara PERNAS International Franchise Festival (PIFF) 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Februari lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pencapaian itu melangkaui sasaran yang ditetapkan iaitu RM12 juta.

“PIFF 2025 mencatat nilai jualan yang membanggakan melebihi sasaran RM9.3 juta untuk keseluruhan tempoh tiga hari penganjurannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pernas merupakan agensi yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 

Ewon berkata penganjuran acara itu bukan sahaja mempromosikan ekosistem keusahawanan francais  terutama dalam sektor kopi dan kafe, tetapi juga membantu pertumbuhan ekonomi negara.

PIFF 2025 menyaksikan penyertaan 83 jenama dari 10 negara termasuk Malaysia, China, Taiwan, Korea, Indonesia, Vietnam, Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan Thailand dan berjaya menarik lebih 16,000 pengunjung. 

Festival yang bertemakan “Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs” itu memberi tumpuan kepada industri kopi, teh dan kafe serta menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk, forum antarabangsa dan pertandingan "Latte Art".

PIFF 2025 turut menyaksikan pelancaran Dasar Francais Negara 2030 serta pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) PERNAS bersama SME Corp, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan TERAJU.

-- BERNAMA