BERITA TERKINI   Menara Merdeka 118 dilancarkan secara rasmi sebagai MD Nexus pertama di Malaysia - Gobind | Kementerian Digital fokus pada enam bidang berimpak untuk percepat transformasi digital pada separuh pertama 2026 - Gobind | Nilai ringgit kukuh kepada paras terbaik hampir 8 tahun pada RM3.92 berbanding dolar AS setakat 28 Jan 2026, kekal antara mata wang terbaik di Asia - Amir Hamzah | Pertumbuhan 2025 dianggarkan 4.9 peratus, perdagangan melebihi 6 peratus dan capai rekod tertinggi RM3 trilion - Amir Hamzah | Defisit 2025 dijangka capai sasaran 3.8 peratus dan turun kepada 3.5 peratus pada 2026 - Amir Hamzah | 

Pelan Strategik AEC 2026-2030 Dimuktamadkan Menjelang Mac 2025 - Setiausaha Agung ASEAN

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 berada di landasan untuk dimuktamadkan menjelang Mac depan, seterusnya diterima pakai oleh pemimpin blok ini pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei 2025, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata pada masa ini, ASEAN bersedia untuk memuktamadkan pelan itu menjelang Mac ini.

“Berasaskan sokongan daripada kalangan menteri ekonomi ASEAN, saya berpandangan...kita boleh katakan pelan stratagik itu sedia untuk diterima pakai pada Mei (tahun ini),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru di sini, Jumaat.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang turut hadir pada sidang media itu berkata Pelan Strategik AEC tersebut dibangunkan menerusi banyak perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan, bertujuan mewujudkan AEC yang berorientasi tindakan, mampan, berdaya keusahawanan, mudah suai, tangkas, dan inklusif.

Mengenai Permukiman AEM ke-31, beliau berkata semasa mesyuarat itu, beberapa inisiatif utama ASEAN telah diterima terutama pelaksanaan pelan hala tuju untuk Nombor Pendaftaran Perniagaan Unik (UBIN) digital ASEAN dan prinsip panduan untuk rundingan Perjanjian Rangka Kerja bagi Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AFAIPC) 2.0.

Beliau yang mempengerusikan permukiman itu berkata inisiatif lain termasuk Perjanjian Rangka Kerja Peraturan Farmaseutikal ASEAN (APRFA), yang dijangka ditandatangani pada mesyuarat AEM ke-57 pada September 2025.

“Kesemua dokumen ini menjadi asas penting dalam pelbagai bidang kerja untuk mewujudkan ekonomi yang lebih kompetitif serta memudahkan perdagangan dan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Permukiman AEM ke-31 diadakan di Desaru hari ini, dengan mesyuarat berkaitan telah berlangsung pada 22 hingga 27 Februari.

Permukiman ini bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ untuk mencerminkan aspirasi Malaysia dalam memperkukuh komuniti ASEAN yang inklusif dan mampan.

Agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta menerajui usaha untuk meneroka dan mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

-- BERNAMA