BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi menjatuhi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hukuman penjara berjumlah 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion berkaitan 1MDB | Terengganu kembali dilanda banjir, tiga PPS dibuka petang ini - APM Terengganu | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas semua 21 tuduhan pengubahan wang haram - Mahkamah Tinggi | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas tuduhan keempat guna kedudukan peroleh suapan - Mahkamah Tinggi | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas tuduhan ketiga guna kedudukan peroleh suapan - Mahkamah Tinggi | 

Sarawak Teroka Penubuhan Taman Perindustrian Aeroangkasa - Abang Johari 

KUCHING, 28 Feb (Bernama) -- Sarawak sedang meneroka penubuhan Taman Perindustrian Aeroangkasa bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pengeluaran komponen aeroangkasa bernilai tinggi dan pusat penyelidikan dalam industri berkenaan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata taman perindustrian itu dijangka menarik pelaburan dalam pembuatan aeroangkasa ke negeri itu serta menggalakkan kerjasama dalam sektor berkenaan.

“Sektor aeroangkasa berkembang pesat di ASEAN dan Sarawak bersedia menjadi hab utama dalam industri berimpak tinggi ini dengan memanfaatkan lokasi strategiknya serta komitmen terhadap inovasi berteknologi tinggi.

“Rancangan membangunkan ekosistem pembuatan dan penyelenggaraan aeroangkasa telah berjaya menarik pelaburan dalam pengeluaran komponen bernilai tinggi, penyelenggaraan pesawat, serta penyelidikan bahan api penerbangan lestari,” katanya dalam ucapan sempena Forum Perniagaan dan Ekonomi ASEAN Sarawak 2025 di sini hari ini.

Abang Johari berkata penubuhan Akademi Aeroangksa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) akan menjadi pemangkin utama dalam melatih tenaga kerja Sarawak dalam kejuruteraan aeroangkasa, teknologi dron dan pembuatan satelit bagi memenuhi keperluan masa depan.

Beliau berkata pelancaran syarikat penerbangan milik negeri AirBorneo bakal membawa perubahan besar dalam jaringan hubungan udara di ASEAN.

“Sebagai syarikat penerbangan berpusat di Sarawak, AirBorneo akan memperkukuh laluan serantau, meningkatkan akses antarabangsa serta membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan dan logistik. Sarawak bukan sekadar sebahagian daripada ruang udara ASEAN - tapi turut mencorakkannya,’ katanya.

Pada 12 Feb lepas, Kerajaan Negeri Sarawak telah memuktamadkan pengambilalihan MASWings melalui pemeteraian perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG).

Pada masa sama, AirBorneo diumumkan sebagai nama baharu bagi MASWings selepas pengambilalihan berkenaan.

-- BERNAMA