BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet menembak Haritz Iklil hadiahkan pingat emas ke-50 menerusi acara 50m Rifle 3 Posisi individu lelaki | Sukan SEA 2025: Malaysia raih emas boling berpasukan wanita | PNB isytihar agihan pendapatan ASB 5.75 sen bagi tahun kewangan 2025 dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion | ASB isytihar agihan pendapatan 5.75 sen bagi tahun kewangan 2025 dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion | Sukan SEA 2025: Skuad hoki negara raih emas acara berpasukan lelaki | 

Coffee Star Bentuk Perkongsian Strategik Untuk Pengembangan Ke Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Coffee Star, pembekal kiosk kopi automatik, melalui syarikat induknya, Fario Holdings Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian perkongsian strategik dengan Puro Coffee dari Belgium dan Alkeyf dari Arab Saudi, bagi menubuhkan perkongsian serta memenuhi permintaan yang semakin berkembang di negara-negara Timur Tengah.

Syarikat usaha sama itu, Puro Coffee Saudi Arabia Ltd, akan menggunakan mesin barista automatik Coffee Star yang canggih di lokasi utama di seluruh Arab Saudi termasuk lapangan terbang dan pusat membeli-belah.

Syarikat itu juga akan melancarkan inisiatif Suqya @Road2Haramain di Arab Saudi melalui penubuhan stesen kopi automatik yang menawarkan kopi percuma kepada jemaah haji di Makkah dan Madinah sebagai “infaq” (amal jariah).

"Perkongsian ini juga membuktikan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat dalam industri kopi global," kata Ketua Pegawai Eksekutif Coffee Star (CEO) Raja Ahmad Fauzan melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat itu amat berbangga kerana dapat membawa inovasi dan kepakarannya ke pasaran global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alkeyf Ibtikar, Saqer Al-Qarni berkata perkongsian itu akan mengintegrasikan penjenamaan antarabangsa dan teknologi inovatif dengan kepakaran tempatan, memastikan kemasukan pasaran yang lancar ke Arab Saudi.

Sementara itu, wakil Puro Coffee Malaysia, Ronny Keikens berkata perkongsian itu, yang menggabungkan proses automasi Coffee Star, biji kopi Puro Coffee serta kepakaran tempatan Alkeyf Ibikar, bukan sahaja akan memberikan kopi bertaraf dunia tetapi turut mewujudkan impak sosial yang bermakna.

Coffee Star berkata ini menandakan pencapaian yang amat signifikan dalam usaha Malaysia untuk mengeksport inovasi tempatan ke persada industri kopi global dan kedudukan Puro Coffee Arab Saudi sebagai pemain utama dalam penyelesaian kopi yang mampan serta automatik sambil menyokong penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi tempatan.

-- BERNAMA