BERITA TERKINI   Krisis tenaga global: Kerajaan MADANI tegas pastikan kestabilan bekalan, bendung kenaikan harga bagi lindungi rakyat - PM Anwar | Malaysia kekal dalam keadaan terkawal, bersedia dan mengambil langkah proaktif untuk mengurus kesan krisis tenaga global - TPM Fadillah | Krisis Tenaga Global: Langkah penjimatan tenaga nasional cermin komitmen kerajaan memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga berhemat - TPM Fadillah | Bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil - TPM Fadillah | Kerajaan telah sediakan pelan kontingensi pastikan kelangsungan bekalan dalam sebarang keadaan, termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif jika gangguan berpanjangan - TPM Fadillah | 

Untung Bersih Guan Chong Naik Kepada RM429.2 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Guan Chong Bhd mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi kepada RM429.18 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024 (TK2024) daripada RM100.93 juta pada tahun sebelumnya, yang sebahagiannya disebabkan harga jualan produk-produk koko yang lebih tinggi.

Hasil naik hampir dua kali ganda kepada RM10.44 bilion berbanding RM5.32 bilion sebelum ini, menurut pembuat bahan makanan berasaskan koko yang terkemuka di Asia itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

Syarikat yang berpangkalan di Johor itu berkata bagi suku keempat, keuntungan bersihnya melonjak kepada RM212.98 juta daripada RM15.17 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM3.37 bilion berbanding RM1.77 bilion sebelum ini.

Kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 1.5 sen sesaham untuk TK2024 serta dividen khas sebanyak 1.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen keseluruhan untuk tahun itu sebanyak empat sen (TK2023: dua sen).

Mengenai prospeknya, Guan Chong berkata harga koko kekal tinggi terutamanya disebabkan oleh kekangan bekalan, berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Syarikat pemproses bahan koko itu berkata ia dapat mengalihkan kos lebih tinggi bagi biji koko kepada pelanggan dan akan terus memberi tumpuan untuk mengekalkan dan meningkatkan margin produk.

"Kami sedang memantau keadaan pasaran dengan aktif dan memastikan bekalan biji koko yang stabil bagi menjamin operasi kilang tidak terjejas, serta menguruskan modal kerja dengan teliti untuk memastikan dana yang mencukupi bagi operasi perniagaan yang lancar dan cekap.

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras iaitu pemprosesan bahan koko sambil berkembang ke pasaran coklat industri dengan margin lebih tinggi dan mengoptimumkan pengeluaran mengikut keadaan pasaran," katanya.

Produk koko keluaran Guan Chong merangkumi jisim koko, mentega koko, kek koko dan serbuk koko. Ia juga menghasilkan produk coklat industri.

-- BERNAMA