BERITA TERKINI   16 jenis barangan dikawal harga, empat barangan ditambah dalam senarai bagi Sabah, Sarawak dan Labuan - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina ditetapkan selama sembilan hari dari 13 hingga 21 Februari - Armizan | Dua sindiket jenayah terancang di Johor tumpas, libatkan kerugian lebih RM4 juta - KPN | Operasi pembenihan awan Monsun Barat Daya diadakan mulai 11 hingga 15 Feb ini di Johor, Kedah dan Perak - Ahmad Zahid | Universiti Poly-Tech Malaysia dan Universiti Kuala Lumpur disasar tersenarai dalam Bursa Malaysia tiga tahun akan datang - Ahmad Zahid | 

Ringgit Terus Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Ringgit terus menyusut daripada dolar AS ketika ditutup hari ini berikutan laporan keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah berbanding jangkaan.

Pada 6 petang, ringgit berkurangan kepada 4.4260/4305 daripada 4.4210/4255 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit sebahagian besarnya kekal dalam julat kecil berbanding dolar AS.

Beliau berkata ini berikutan peniaga dan pelabur yang terus berhati-hati dengan langkah terkini kerajaan AS untuk mengawal perbelanjaan China ke atas teknologi AS.

Selain itu, beliau berkata AS turut menggalakkan sekutunya untuk mengenakan tarif terhadap China.

“Keadaan di China mungkin boleh terjejas lagi, yang boleh menyebabkan perubahan sentimen pasaran ke arah pendirian yang lebih defensif, dan pada akhirnya memberi manfaat kepada dolar AS,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9631/9663 dari 2.9552/9584, merosot berbanding pound Britain kepada 5.5993/6050 dari 5.5806/5863 dan susut berbanding euro kepada 4.6455/6503 daripada 4.6301/6348.

Mata wang tempatan turut diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3079/3115 daripada 3.2997/3034 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.66 dari 7.63/7.64.

Ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1281/1469 daripada 13.1132/1324 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 270.2/270.5 daripada 270.0/270.4.

-- BERNAMA